Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Ab­­bas berkata, usaha mengutip derma menerusi tabung itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai ter­­masuk dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Jelasnya, tempoh sebenar kutipan tabung tersebut sepatutnya berakhir 1 April lalu tetapi disebabkan respons yang diterima baik, Kumpulan Utusan serta Lembaga Tabung Haji melanjutkan lagi tempoh bagi memboleh­kan lebih banyak penderma menghulurkan sumbangan ma­sing-masing.

“Malah kutipan daripada tabung ini bukan sahaja untuk masyarakat Rohingya di Myanmar tetapi akan turut dihulurkan kepada etnik berkenaan yang te­lah berada di Malaysia. Ini kerana mereka masih merasai kesengsaraan hidup sebagai pelarian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penganjuran Konsert Munajat Untuk Rohingya: Sepasang Tangan Berdoa di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji yang dilancarkan membabitkan kerjasama antara Yayasan Kumpulan Utusan, Lembaga Tabung Haji, Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan syarikat penyiaran TV Al-Hijrah.

Tabung berkenaan sebelum ini dibuka untuk tempoh empat bulan bermula 1 Disember 2016 sehingga 1 April 2017, bagi mengutip derma dan bantuan khususnya dari aspek bekalan makanan, perubatan, kelengkapan asas seperti al-Quran, sejadah serta beberapa barangan keperluan lain.

Mengulas mengenai konsert yang dianjurkan, Mohd. Noordin berkata, program berkenaan merupakan antara usaha membabitkan Tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji untuk mengutip derma.