SYMPATHY dengan kerjasama Yayasan Al-Quds Malaysia akan melancarkan program "Kanak-kanak Palestin Pergi Ke Sekolah" dimana ia adalah satu langkah dalam meraih simpati masyarakat untuk menghulurkan sumbangan.

Presiden Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Amin Abushammala berkata, program ini dianjurkan bertujuan untuk memberikan bantuan persekolahan sebelum September ini.

"Seramai lebih 300,000 orang kanak-kanak Palestin yang memerlukan beg sekolah, peralatan tulis dan baju uniform sekolah untuk memberi keselesaan kepada mereka.

"Dalam program ini juga kami memerlukan dana untuk memperbaiki prasarana sekolah serta membantu para guru yang sering menjadi sasaran pihak Israel dalam menghalang untuk pergi ke sekolah," kata Sharif dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabat Yayasan Al-Quds Malaysia hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Simpati Masyarakat (SYMPATHY), Abdullah Abdul Hamid berkata, hampir 17 USD yang diperlukan dalam menyediakan keperluan pendidikan ini.

"Bagi mendapatkan jumlah dana yang besar itu, kami mengharapkan bantuan dari semua pihak.

"SYMPATHY akan bekerjasama dengan semua pihak baik di peringkat kerajaan mahupun swasta, institusi mahupun individu dengan melaksanakan pelbagai aktiviti di seluruh negara dan berharap masyarakat dapat memberi sumbangan dan bersimpati dengan apa yang berlaku di Palestin," katanya selepas ditemu bual di sini hari ini.

Segala maklumat lanjut berhubung SYMPATHY, boleh menghubungi nombor 03-77346880.-UTUSAN ONLINE