Pengarah Hoshas, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah berkata, pembinaan surau dua tingkat berkenaan berada pada fasa akhir yang mana ia kini siap kira-kira 95 peratus.

“Ketika ini, kita dalam proses akhir pembinaan namun masih memerlukan kira-kira RM100,000 untuk kerja-kerja akhir seperti memasang karpet, mengecat dan aksesori lain.

“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan ikhlas dengan menghubungi jawatankuasa pembinaan surau,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Menurut Bahari, pembinaan surau berkenaan memberi manfaat kepada warga Hoshas dan orang ramai yang selama ini hanya menggunakan bilik solat yang bersaiz kecil.

Katanya, surau dua tingkat berkenaan mampu menampung kapasiti 100 jemaah pada satu-satu masa sekali gus menyediakan kemudahan ibadat yang selesa kepada masyarakat Islam.

Dalam pada itu, beliau berkata, fungsi surau tersebut akan diperluas sebagai pusat sehenti untuk waris dan pesakit mendapatkan khidmat nasihat agama serta bantuan kerohanian.

“Pusat bagi pesakit dalam rehabilitasi ini dapat meningkatkan ibadah masyarakat Islam dengan membaca al-Quran, buku-buku agama dan melakukan ibadah lain sementara menunggu masa dibenarkan pulang,” katanya.

Orang ramai yang mahu me­nghulurkan sumbangan boleh menghubungi jawatankuasa pem­binaan surau itu di talian 09-2955333 atau mendepositkannya ke akaun Bank Islam 06028010061299.