Bendahari Kehormat Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Mutalif Abdul Aziz berkata, jumlah itu kira-kira 40 peratus daripada sasaran 1,500 tan bantuan kemanusiaan yang mahu dihantar ke Myanmar dalam misi membantu etnik Rohingya.

Beliau yang terharu dengan kemurnian hati para penderma berkata, sumbangan tersebut menunjukkan rakyat Malaysia tidak kira kaum dan fahaman politik bersatu dalam membantu golongan memerlukan.

“Tiap-tiap hari KP1M dan Maj­lis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) mendapat sumbang­an daripada orang ramai sama ada daripada pihak syarikat, persendirian atau persatuan.

“Sumbangan daripada orang ramai masih dialu-alukan terutama bagi barangan makanan, selimut dan ubat-ubatan yang amat diperlukan oleh masyarakat Rohingya di Myanmar,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pengumpulan bantuan itu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut mene­rima kunjungan daripada Kelab Rukun Tetangga Jalan Manggis, Teluk Intan yang menyumbang satu tan beras serta wang tunai RM13,000.

Mengulas lanjut Abdul Mutalif memberitahu, sumbangan wang juga dialu-alukan kerana selain membawa barangan, pihaknya turut merancang membeli bara­ng­an keperluan dan ubat-ubatan di Myanmar bagi menjimatkan kos penghantaran.

“Jika kita dapat mengurang­kan kos penghantaran, ini bermakna lebih banyak bantu­an boleh kita berikan kepada masyarakat Rohingya di sana.

“Selain itu, suka saya ingatkan kepada orang ramai yang mahu menyumbang barangan makanan supaya memastikan tarikh luput makanan sekurang-kurangnya tiga tahun,” jelasnya.