Remaja hari ini memang berhadapan dengan cabaran, sekiranya tidak kuat, mereka akan terjerumus ke dalam aliran sosial yang mengajar erti jenayah.

Apatah lagi sekiranya mereka sendiri berhadapan dengan kepincangan dan kemelut keluarga yang mengakibatkan mereka berasa tersisih dan akhirnya bertindak keluar rumah untuk mencari bahagia sendiri bersama rakan-rakan dengan bergelandangan di ibu kota.

Itu yang diberitahu oleh Nor Akmar Ali, yang tidak kisah untuk berkorban masa dan tenaga demi menyelamatkan anak-anak remaja ini daripada lebih jauh tersasar.

Dia tahu tindakannya itu bukanlah satu yang mudah kerana urusan untuk mengembalikan semula insan-insan ini ke jalan yang benar memerlukan masa, semangat dan kesabaran.

“Remaja gelandangan ini semakin bertambah. Di bawah pemantauan saya sahaja, terdapat hampir 50 gelandangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun, lelaki dan perempuan berada di ibu kota. Mereka sanggup meninggalkan keluarga kerana berhadapan dengan kemelut keluarga yang tidak berkesudahan.

“Itu cuma sebahagian kecil, namun di kawasan-kawasan lain juga ada kerana remaja gelandangan dipisahkan dengan geng-geng di kawasan tertentu seperti Bukit Bintang, Mekong (Chow Kit), Keramat dan kawasan perhentian bas Klang di Jalan Silang,” jelasnya.

Nor Akmar memberitahu, remaja gelandangan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, transgender dan budak jalanan, agak sukar mendapat tempat dalam masyarakat, justeru, seseorang perlu memainkan peranan untuk menarik mereka keluar daripada kemelut sosial ini.

Untuk itu apa yang diperlukan ialah mendapatkan kepercayaan dan dekatkan diri dengan mereka terlebih dahulu sebelum berkongsi rahsia.

“Dari situ, kita boleh tarik mereka kembali ke jalan yang benar dan kemudian menempatkan mereka di institusi kemahiran yang mereka ingin ceburi berdasarkan minat,” katanya.

Semenjak beberapa bulan lalu, atas inisiatif sendiri, Nor Akmar telah membuka sebuah kelas mengaji al-Quran, yang dinamakan kelas al-Furqan, di Buku Jalanan, Chow Kit.

Biarpun menumpang di sebuah premis kecil sumbangan individu, kelas yang diadakan setiap hari Jumaat itu semakin mendapat tempat anak-anak remaja itu, selain gelandangan lain.

Pada awalnya untuk menarik minat remaja gelandangan ini hadir mengaji memang agak sukar, sehinggakan Nor Akmar terpaksa mengumpan mereka dengan memberi makan dan duit RM5. Dia membelanjakan lebih RM300 seminggu hasil sumbangan orang perseorangan untuk menyediakan bungkusan makanan dan duit belanja remaja berkenaan.

“Saya harus berbuat demikian kerana mahu mereka datang secara berkumpulan dan tetap. Kelas ini cuma berlangsung dalam 45 minit hingga satu jam sahaja kerana mereka tidak boleh lama kerana akan hilang fokus.

“Pada awalnya mereka datang kerana duit dan makanan, tetapi lama kelamaan mereka datang sebab mereka tertarik untuk mengaji dan ingin belajar.

“Ada dalam kalangan mereka yang rasa terharu kerana sekarang sudah boleh membaca Al-Fatihah dan mengenal huruf jawi serta boleh membaca mukaddam,” jelasnya.

Menurut Nor Akmar, sementara ini mereka diajar oleh rakan-rakan yang tahu mengaji al-Quran. Pihaknya masih tidak mampu untuk mengupah ustaz untuk mengajar mereka.

Justeru, dia memohon sekiranya ada ustaz atau mereka yang berpendidikan agama sudi dan berkelapangan bukan sahaja untuk mengajar mengaji bahkan fardu ain dan ceramah agama.

Jelasnya, remaja ini perlu difahami keadaan dan tingkah laku mereka agar akhirnya nanti mengikut kata. Mereka ini kehilangan kasih sayang dan hidup dalam memberontak..

“Ada juga yang menawarkan pusat perlindungan kepada golongan ini tetapi terlalu mengikut peraturan dan memaksa kehidupan harian mereka dengan jadual yang ketat, mengakibatkan mereka keluar dari situ.

“Saya merasakan remaja ini perlu diberikan ruang dan peluang. Beri mereka masa dan pujuk secara lembutdan rapatkan mereka dahulu dengan kita.

“Saya tidak berseorangan dalam melakukan kerja-kerja ini, kerana turut bekerjasama dengan Rizan Hassan dari Majlis Belia Malaysia (MBM), Vimmi Yasmin Razak dari Rumah Kita, Rakan Jalanan dan orang perseorangan, Syed Azmi Alhabshi.

“Saya juga sedang mencari sebuah bangunan yang boleh menempatkan remaja gelandangan ini pada waktu malam agar mereka tidak berkeliaran ke sana sini. Ini memandangkan tidak banyak rumah atau pusat yang disediakan untuk gelandangan pada waktu malam dan keselamatan mereka agak terjamin.

“Pada waktu pagi pula saya akan mencari roti atau apa sahaja yang sudi disumbangkan oleh orang ramai bagi diberikan kepada anak-anak ini sebagai sarapan mereka,” katanya yang boleh dilawati di [email protected]