Ia merupakan satu tempat simpanan setempat di internet untuk semua kandungan yang bakal kita buat dan kumpulkan.

Di sini, setiap ahli pasukan pemasaran, pihak pengurusan, jabatan jualan, operasi dan jabatan-jabatan lain yang mempunyai kepentingan ber­kaitan dengan pemasaran bo­­­leh diberikan akses untuk meng­gunakan kandungan yang sama bagi tujuan masing-masing.

Google Drive, Dropbox, Box dan OneDrive merupakan antara perisian perkongsian dokumen percuma yang popular di dunia yang biasanya digunakan oleh pemasar digital bagi tujuan Bank Kandungan ini.

Rata-rata menyediakan saiz simpanan yang agak besar. Google Drive misalnya, menyediakan saiz simpanan sebanyak 15GB secara percuma, Dropbox pula akan memberikan saiz yang lebih besar de­ngan percuma sekiranya anda memperkenalkan rakan-rakan untuk turut menggunakannya, Box pula memberikan 10GB percuma manakala OneDrive 5GB diberikan percuma.

Kesemua platform ini berpusat di Amerika Syarikat dan anda perlu berhati-hati. Jadi kaveat di sini ialah, anda tidak digalakkan menyimpan dokumen-dokumen sensitif di platform-platform ini kerana tahap keselamatan yang ditawarkan agak kurang sesuai untuk tujuan itu.

Secara peribadi, saya lebih berminat menggunakan Goo­gle Drive kerana ia bukan sahaja memberikan storan yang jauh lebih besar berbanding yang lain, tetapi lebih daripada itu.

Saya juga dapat menggunakan Google Document yang disediakan secara automatik. Google Document ialah versi Google untuk Microsoft Word, Excel dan Powerpoint. Saya juga boleh menggunakan Google Keep sebagai nota ha­rian saya.

Fungsi-fungsi ini membantu saya dalam proses penyediaan kandungan untuk dimuat naik ke dalam Bank Kandungan. Ini semua diberikan secara percuma yang juga boleh diakses melalui mana-mana peranti.

Berikut adalah contoh senarai dokumen yang anda boleh simpan di Bank Kandungan ini. Untuk kelihatan lebih bersih, menarik dan mudah untuk mencari, anda boleh asingkan jenis-jenis dokumen mengikut folder masing-masing.

#Laporan

Di bahagian ini, anda perlu menempatkan kesemua la­po­ran mingguan untuk diukur pres­tasi masing-masing. Daripada media sosial seperti LinkedIn, Twitter, Facebook, Instagram, YouTube, Google Plus dan sebagainya, sehingga­lah kepada prestasi aliran trafik yang ditunjukkan oleh laman web kita.

Di sini jabatan-jabatan ber­kaitan terutamanya pihak pe­ngu­­rusan dapat mengetahui dengan lebih cepat setiap apa yang berlaku melalui akses yang diberikan. Anda tidak perlu lagi mencetak dan memberikan mereka fail yang tebal sebagai laporan.

#Artikel

Artikel ialah cerita yang ditulis di laman web atau blog.

#Logo

Setiap lakaran, logo yang telah siap atau logo yang perlu diubah suai.

#Media Sosial

Gambar header, jadual status-status media sosial yang bakal dimuat naik dan status-status daripada rakan niaga anda yang perlu anda masukkan ke dalam jadual yang sama.

#Perhubungan Awam (PR)

Siaran akhbar yang bakal dihantar ke media ber­kaitan dan juga keratan akhbar yang menyebut tentang jenama anda.

#GIF

GIF atau dikenali sebagai Graphic Interface Format ialah satu bentuk video mini yang dimainkan berulang-ulang kali. Ini juga satu bentuk kandungan yang mampu menaikkan jenama anda.

#Video

Video terbahagi kepada dua, kepunyaan anda dan daripada prinsipal atau rakan niaga anda.

#Infografik

Infografik ialah maklumat yang mempunyai kombinasi reka bentuk dan juga ayat. Ke­semua infografik yang dilukis perlu dimasukkan di sini juga.

#Gambar

Segala gambar tidak kira daripada stok simpanan anda, yang dibeli dan juga yang percuma perlu dikumpulkan di folder ini. Ini memudahkan rakan sekerja media sosial anda untuk mencari bagi tujuan promosi.

#Poster

Ini pula gambar-gambar yang dilukis atau gambar yang dinaik taraf daripada asal yang mempunyai tulisan-tulisan di atasnya.

#Ikon

Laman web anda, poster dan lain-lain kandungan biasanya akan mempunyai ikon, emoji dan simbol tertentu yang unik kepada jenama anda. Ini juga perlu disimpan untuk memudahkan proses pencarian di masa akan datang.

#Lain-lain

Terdapat juga dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan syarikat yang sentiasa diperbaharui, berita atau peng­umuman tertentu yang perlu anda gunakan dalam pemasaran anda. Ini juga perlu disimpan secara setempat di sini.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com