Program turun padang yang diketuai oleh Pengerusinya, Zarina Md. Eusope itu adalah salah satu usaha untuk membantu golongan berkenaan.

Menurut Zarina, dalam kunjungan tersebut, Skuad Sayang turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta wang tunai kepada setiap keluarga di samping bertanya khabar mengenai bantuan asas yang diperlukan.

"Kita membuat kunjungan ini bagi membantu golongan bekas tentera kerana ada sebahagian daripada mereka yang tidak mempunyai pencen.

"Jadi, kunjungan ini adalah untuk bertanya khabar serta berusaha membantu bagi meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah bekas tentera di Kampung Tebing Tinggi, Sabak, hari ini.

Dalam pada itu, Zarina yang juga ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa berkata, secara keseluruhannya terdapat seramai 1,400 bekas tentera di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa termasuk yang berpencen dan tidak berpencen.

"Daripada jumlah itu, kita akan mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan dan kita akan berusaha membantu," katanya. - UTUSAN ONLINE