Begitulah semangat juang pengerusi badan bukan kerajaan (NGO), Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar. Bekas penuntut jurusan Usuluddin di Universiti Umm al-Qura, Mekah ini, berjuang membantu Syria melalui aktiviti NGO.

“NGO ini merupakan cara saya membantu mereka walaupun dari kejauhan. Saya mahu membantu penduduk mereka yang sengsara akibat peperangan ini dengan cara saya sendiri.

“Saya pernah menyuarakan hasrat meminta bantuan untuk Syria hanya di Facebook dan saya tidak menyangka ketika itu saya berjaya mengutip hampir RM30,000. Kemudian saya ditawarkan untuk berkhidmat di Syria Care,” katanya.

Walaupun perjuangan tanpa senjata dan peluru ini kelihatan mudah, hakikatnya banyak yang perlu dilakukan termasuk cara yang tepat dan betul untuk menyalurkan bantuan di bumi berdarah itu. Selain itu, tidak semua pihak memahami perjuangan NGO lebih-lebih lagi melibatkan wang ringgit.

Pun begitu, Siti Sakinah tidak pernah berputus asa dan pertubuhannya tetap meneruskan misi bagi membantu rakyat menderita akibat peperangan yang berlaku di sana.

“Inilah yang kami lakukan di Syria Care dan beberapa NGO lain sekarang. Kami membantu saudara sesama Islam. Walaupun bukan mudah menyakinkan orang ramai tetapi saya bersyukur, dana yang kami terima tidak pernah putus. Malah setiap bulan, kami dapat membantu kanak-kanak yang ingin bersekolah di sana. Kami juga berjaya membina sekolah atas nama Syria Care hasil duit sumbangan rakyat Malaysia,” katanya.

Jauh di sudut hatinya, Siti Sakinah sebenarnya ingin menjejak kaki ke Syria tetapi atas kekangan tertentu, hasrat itu belum tercapai. Namun, dia tidak pernah berhenti memperjuangkan Syria Care.

“Saya pernah sampai di khemah pelarian dan sempadan negara berkenaan. Kita tidak boleh sesuka hati untuk lepas ke sempadan negara tersebut. Malah bantuan kita juga disampaikan oleh NGO yang berada di negara berkenaan. Saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia yang mahu bersama-sama mereka melawan perang dan membantu yang sengsara. Sumbangan dan doa rakyat Malaysia sudah pasti sentiasa bersama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Syria Care menyasarkan kutipan RM4 juta bagi Kempen Bantuan Musim Sejuk musim kelima untuk rakyat Syria yang menjadi mangsa konflik bersenjata sejak Mac 2011.

Tambah Siti Sakinah, Syria Care akan mengedarkan bantuan dalam bentuk pakaian tebal, alat pemanas, kayu api dan gas untuk dimanfaat sekurang-kurangnya 23,000 keluarga di negara itu.

“Kempen bermula bulan ini manakala pengagihan dijadual bermula November ini. Bantuan akan diedar ke beberapa lokasi yang dikepung tentera rejim seperti Latakia, barat Idlib, timur Ghoutah, timur Idlib, selatan Damsyik, Homs dan Aleppo.

“Akibat kepungan berkenaan, mangsa konflik sukar mendapatkan bantuan dan keperluan untuk kelangsungan hidup,” jelasnya.

Siti Sakinah menambah, di beberapa daerah termasuk Timur Ghoutah sebelum ini pernah mencatatkan kematian bayi akibat kesejukan melampau.

“Saya teringat pada tahun lepas betapa pilunya seorang bapa yang kehilangan anak kecil di tengah salji. Apabila melihat anaknya semakin pucat, dia angkat dan berlari mendapatkan bantuan. Namun, belum pun sempat tiba, anaknya sudah terkulai dalam dakapan.

Bayangkan kalau kita di tempat mereka, memangku anak kesayangan. Sukar saya hendak terjemahkan perasaan itu,” katanya sebak.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Facebook Syria.Care atau hubungi 011-28809820.