Inisiatif di bawah Program Sinar Kasih itu membolehkan golongan sasar menerima bantuan kewangan bagi pendidikan dan kebajikan sebanyak RM200 sebulan selama setahun, sekali gus meringankan bebanan pembiayaan anggota keluarga terdekat dalam menyediakan keperluan mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aibullah Samsudin berkata, sembilan daripada mereka merupakan anak yatim piatu termasuk empat beradik berusia lima hingga 12 tahun yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, April tahun lalu.

“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu anak-anak meneruskan pengajian di sekolah atau di pusat-pusat pendidikan tinggi dengan lebih sempurna tanpa berdepan dengan banyak kekangan pembiayaan.

“Secara keseluruhannya, Yapeim telah menyumbang kira-kira RM6.7 juta kepada 1,821 anak-anak daripada 631 keluarga di seluruh negara menerusi Program Sinar Kasih dari 2009 hingga Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, RM98,000 diberikan kepada balu yang tiada sumber pendapatan untuk membantu menjalankan perniagaan,” katanya demikian selepas menyampaikan bantuan Sinar Kasih dan Hadiah Bulanan Jongkong Emas Ar-Rahnu Yapeim Bulan Mac di cawangan Ar-Rahnu Yapeim Kuala Terengganu di Dataran Tembesu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Yapeim, Arshad Sian; Pengurus Kanan Kewangan Korporat & Perancangan Strategiknya, Fariha Hassan dan Pengurus Kanan Kewangan Polisi & Dasar, Juliana Jusoh.

Program Sinar Kasih diperkenalkan bagi menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga kerana musibah, dan Yapeim akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum melanjutkan pemberian bantuan bagi tahun kedua untuk para penerima.

Penerima sumbangan hari ini ialah waris Allahyarham Zamri Awang, Badrul Hisham Omar dan Noor Amalia Noorzan, Abdul Hakim Samingan, Saiful Nizam Ismail, Daud Setaffa dan Maimun Mamat, Mazlan Abdul Ghani dan

Mat Shah Deraman.

Sementara itu, ibu kepada Noor Amalia, Hasimah Mustaffa, 58, berterima kasih atas sumbangan pihak Yapeim yang sedikit sebanyak memberi kelegaan dalam urusan keperluan harian bagi persekolahan empat cucunya iaitu Danish Putra Badrul Hisham, 12; Damia Putri, 10; Dayini Putri, 8; dan Darwish Putra, lima tahun.

“Bantuan RM9,600 ini akan digunakan keperluan persekolahan mereka. Saya amat berterima kasih dan bersyukur,” katanya. - UTUSAN ONLINE