Eksekutif Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Shell, Ameerah Ariss berkata, pihaknya selama ini menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan dalam bentuk kewangan.

“Bersama-sama Pusat Darah Negara, Shell mengadakan aktiviti derma darah kerana kita sering diberitahu pada musim perayaan seperti ini, bekalan darah sentiasa berkurangan.

“Maka, kita ambil peluang ini untuk menganjurkan kempen derma darah, terbuka kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kempen yang julung-julung kali diadakan itu, akan diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai untuk menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, salah seorang penderma, Chong Wee Yen, 33, berkata, dia menderma darah untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Seorang lagi, Karen Lim Mei Hua, 30, berkata, ini pertama kali dia menderma darah dan akan berbuat demikian pada masa akan datang sekiranya berpeluang.

Berbeza dengan K. Anthony, 49, yang telah menderma darah sebanyak 30 kali, dia gembira dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan.

“Saya memang suka derma darah kerana mahu tolong orang. Ini perkara biasa sahaja bagi saya,” katanya.