Itu antara ayat pertama terpacul dari mulut Muhammad Mukhtar Ahmad Anuar, 10, sebaik sahaja dilontarkan pertanyaan tentang piza yang sedang dinikmatinya.

Bagi sesetengah orang khususnya yang kurang berkemampuan, piza dianggap makanan ‘mewah’ yang hanya mampu dipandang dari jauh jika tiada ‘lebihan’ duit, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi sekarang.

Bagi mereka, harga sekeping piza bersaiz besar yang boleh dihabiskan tidak sampai setengah jam, lebih berbaloi digunakan untuk membeli beras bagi makan seminggu untuk seisi keluarga.

Justeru, keterujaan yang tergambar pada wajah penghuni Pusat Jagaan Permata Rohani, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, apabila dapat makan piza yang dibawa beramai-ramai oleh kakitangan Damino’s Pizza baru-baru ini, cukup difahami.

Masing-masing bagaikan tidak sabar untuk menjamah piza yang disajikan, namun keinginan itu ditahankan sahaja dek arahan pengurus pusat, Maizura Othman, agar setiap orang menjaga tingkah laku .

Mungkin kerana ‘takut’ terlepas makan piza sekiranya mengingkari arahan, 40 penghuni pusat tersebut yang berusia antara tujuh hingga 15 tahun, ternyata begitu mendengar kata.

Bagaimanapun sebaik sahaja doa makan selesai dibacakan, masing-masing tidak menunggu lama, sambil tangan menyuap piza, mulut pula tidak berhenti bercakap, sekaligus menggambarkan kegembiraan kanak-kanak ini.

Melihat mereka begitu ‘ralit’ menghabiskan setiap bahagian piza yang telah diagihkan, tiba-tiba saya terasa sebak terkenang anak sulong yang juga begitu menggemari piza.

Betapa bertuahnya anak saya dapat makan makanan kegemarannya sekurang-kurangnya dua bulan sekali, sedangkan anak-anak ini hanya berpeluang menikmati sajian yang enak-enak apabila ada yang sudi menyumbang.

Pemberian piza tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyumbang kembali kepada masyarakat oleh rangkaian restoran Domino’s Pizza yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Pengurus Domino’s Pizza Tanjong Malim, Nurulizuwan Md. Zawai, kunjungan ke Pusat Jagaan Permata Rohani adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan.

“Hari ini kami menyediakan 15 piza bersaiz besar dengan pelbagai rasa dan 12 makanan sampingan untuk dinikmati anak-anak ini.

“Sumbangan ini cukup bermakna bagi kami sempena sambutan ulang tahun ke-20 Domino’s Pizza di Malaysia. Apa yang kami harapkan ialah dapat meneruskan usaha murni ini pada masa akan datang,” katanya.

Menurut, Nurulizuwan program CSR itu merupakan projek kolaborasi bersama 20 agensi media arus perdana tempatan, yang mana sumbangan piza akan diberikan kepada 20 buah rumah kebajikan terpilih di sekitar Lembah Klang dan tiga buah negeri di Pantai Timur.

Pusat Jagaan Permata Rohani merupakan rumah kebajikan yang dipilih oleh Utusan Malaysia.

Sementara itu, mengakui pertama kali diraikan dengan sajian piza, Maizura, nyata amat menghargai usaha dilakukan oleh Domino’s Pizza.

Katanya, walaupun kunjungan oleh kakitangan restoran tersebut hanya seketika, cukup untuk menggembirakan kanak-kanak di situ.

“Sudah pasti kunjungan buat pertama kali ini sesuatu yang tidak ternilai harganya buat kanak-kanak di ini.

“Selain menceriakan, pada masa sama membuktikan bahawa masih ada lagi masyarakat di luar sana sedar akan ‘kehadiran’ kanak-kanak kurang bernasib baik ini,” ujarnya.

Hanya menempatkan kanak-kanak beragama Islam, menurut Maizura, pusat jagaan tersebut mampu menampung tidak lebih daripada 40 kanak-kanak.

Ini kerana selain keadaan rumah yang kecil dan hanya mempunyai empat buah bilik, mereka juga tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menguruskan kanak-kanak tersebut.