Zairin Zakaria, 55, berkata, kehidupannya banyak berubah dan terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini selepas kaki ki­rinya dipotong sehingga paras lutut akibat penyakit kencing manis pada April lalu.

“Saya memang ada penyakit kencing manis kronik sebelum ini dan pada April lalu, kaki kiri jadi bengkak dan mengeluarkan air sehingga menyukarkan saya untuk bergerak dan bekerja.

“Saya kemudian pergi ke Hospital Segamat (HS) untuk membuat pemeriksaan dan terkejut apabila doktor mengesahkan kaki saya perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke anggota badan yang lain,” katanya semasa ditemui dalam program Ziarah Ukhwah Ramadan Pemuda UMNO Bahagian Segamat dengan kerjasama Kelab Gabungan Pemilik Wira Malaysia (GPWM) di sini.

Dia yang sudah bercerai dan tidak mempunyai anak kini terpaksa menumpang di rumah abangnya, Zulkifli Zakaria, 57, kerana rumah pusaka keluarga­nya sudah usang, selain hilang sumber pendapatan.

Sementara itu, seorang warga emas, Mohamed Mahmud, 69, pula meminta bantuan untuk menghantarnya ke rumah orang tua ekoran keadaan kesihatan dirinya yang semakin merosot.

“Saya sekarang menumpang di rumah adik bersama anak saudara dan tidak pernah berkahwin. Mungkin saya boleh mendapat ramai kawan senasib jika tinggal di rumah orang tua.

“Beberapa hari sebelum puasa, saya terjatuh di dalam bilik air dan terpaksa dirawat di hospital selama 22 hari dan selepas itu terpaksa menggunakan lampin pakai buang, selain menggunakan salur untuk membuang air kecil,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, program yang memasuki edisi ketiga pada tahun ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan golongan asnaf di kawasan Parlimen Segamat.

“Pada tahun ini, 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) daripada 47 cawangan Pemuda UMNO menerima bantuan berupa barangan ke­perluan harian dan duit raya,” katanya.