Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program dilaksanakan sejak 2010 itu menjadi ruang terbaik bertemu dan membantu golongan memerlukan, termasuklah memberi khidmat nasihat dan juga sumbangan.

Beliau berkata, inisiatif diambil secara sukarela itu adalah sebahagian usaha mendekati warga masyarakat sekitar seterusnya menjadi penghubung bagi setiap permasalahan yang dihadapi.

"Program dibuat setiap minggu ada Jumaat bagi mendekati mereka yang memerlukan dan membantu apa yang termampu.

"Sekiranya masalah dihadapi itu boleh diselesaikan segera, maka saya dan pegawai bertugas di pusat khidmat masyarakat akan selesaikan segera, jika memerlukan pihak ketiga bantu selesaikan, kami akan salurkan segala maklumat dan keperluan berkaitan agar isu berbangkit dapat ditangani segera demi kebaikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Bersama Masyarakat Sekitar Parlimen Titiwangsa di Pusat Khidmat Masyarakat, di sini hari ini.

Dianggarkan antara 250 hingga 400 aduan kes diterima setiap kali sesi program yang diadakan bermula pukul 2.30 petang hingga 10.00 malam itu. - UTUSAN ONLINE