Program julung kali peringkat IPD itu merupakan salah satu acara sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210 tahun ini.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, program seumpama itu dianjurkan dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan setiap anggota dan keluarga di IPD Brickfield.

“Bagi memeriahkan program ini, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka, pertandingan hiasan rumah tercantik, perbarisan tercantik dan teka jumlah biji betik.

“Selain itu, kesemua peserta juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang diiringi kugiran dari Balai Polis Pantai,” katanya yang mengilhamkan majlis tersebut.

Menurutnya, majlis itu diuruskan sepenuhnya oleh anggota polis IPD Brickfield, bermula dengan aturcara majlis sehingga gotong-royong memasak hidangan tengah hari untuk anggota dan ahli keluarga ibu pejabat berkenaan.

“Semua aktiviti hari keluarga ini dikendalikan oleh anggota dan pegawai di daerah Brickfield. Malah persembahan nyanyian dan pancaragam juga melibatkan anggota kami.

“Acara ini diadakan bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan sedia ada antara anggota pasukan dan keluarga, malah kerjasama yang kukuh antara pegawai dan kakitangan, di samping memberi peluang kepada peserta untuk mengenali anggota lain dengan lebih dekat,” ujarnya.

Sementara itu, syarikat Frontier Food Industries Sdn. Bhd., dan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. (Mamee) menjadi penaja kepada 1,000 beg cenderamata dalam program sambutan hari keluarga tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Duta Frontier Food Malaysia, Jasmine Elizabeth Lim.

Dalam pada itu, majlis tersebut dirasmikan sendiri oleh Sharul Othman Mansor.