Mohd. Fadzli berkata, anak­nya, Nur Haziqah Zuhayra yang menghidap sejenis penyakit jarang jumpa di negara ini iaitu kekurangan vitamin B12 (kobalamin) semakin pulih berbanding ketika mula-mula menghidap penyakit itu.

“Keadaan anak ketika ini yang kini berusia setahun 10 bulan jauh lebih baik berbanding 2016 walaupun tidak seperti kanak-kanak normal lain.

“Bagaimanapun, saya dan isteri bersyukur kepada Allah SWT kerana tahap kesihatannya semakin baik dan memberikan keceriaan kepada kami seke­luarga untuk sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada 24 November 2016, akhbar ini melaporkan berhubung penderitaan Nur Haziqah Zu­hayra yang ketika itu baru berusia tiga bulan menghidap penyakit ganjil.

Pada waktu itu, kanak-kanak berkenaan hanya mampu terba­ring di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Mohd. Fadzli berkata, Nur Haziqah Zuhayra atau lebih manja dengan panggilan Yaya kini sudah boleh menyapanya dengan panggilan ‘papa’.

“Ini cukup menggembirakan saya dan isteri berbanding ke­adaannya dahulu yang hanya mampu terbaring sahaja. Kini Yaya semakin aktif walaupun baru mula belajar duduk.

“Yaya bagaimanapun masih terus bergantung dengan susu dan ubat sepenuhnya melalui ‘ryles tube’ tetapi diselang-selikan dengan menggunakan picagari secara manual ke dalam mulutnya,” ujarnya.