Menurut Asmah, kedua-dua anak angkatnya, Siti Nurzurina Abdullah, 22, dan Nurul Huda Abdullah, 17, dijaga sejak kecil dan merupakan OKU kategori masalah pembelajaran.

“Saya ambil mereka sebagai anak angkat kerana mahu anak perempuan. Siti Nurzurina di-sahkan OKU selepas mengalami demam panas ketika masih bayi manakala Nurul Huda pula mengalami masalah sama ketika berusia dua tahun.

“Saya tak pernah menyesal ambil mereka sebagai anak ang­kat yang kini berjasa kepada saya,” katanya ketika ditemui semasa Program Gotong-royong Rakyat di Kampung Baru Blok B, Ampangan di sini.

Program itu dianjurkan Pertubuhan Sahabat Anak Negeri Sembilan (Sahabat) dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Landak.

Menurut Asmah, akibat mengalami masalah sendi sejak setahun lalu dia hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda dan kebanyakan masanya dihabiskan dengan berbaring di rumah.

“Mereka boleh diharapkan untuk memasak dan kerja-kerja lain. Yang paling utama mereka boleh tengokkan keadaan saya yang sudah uzur.

“Mujurlah saya ada duit pencen dan mereka pun dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sahabat, Mohd. Arafat Muhammad berkata, program terbabit dijalankan serentak di lima buah rumah di kawasan DUN Ampa­ngan dalam usaha membantu meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada golo­ngan kurang bernasib baik.

“Program sebegini tidak melibatkan kos yang banyak dan mudah dilakukan jika ada kesepakatan. Paling penting, kita dapat beri sedikit sinar buat insan kurang bernasib baik.

“Kita juga mendapat kerjasama Persatuan Belia Warisan Perdana, mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 dan turut dibantu oleh agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sem­bilan, bomba, SWM Environment Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Seremban,” katanya.