Timbalannya, R. Sivarasa berkata, kerajaan sememangnya mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli sebagaimana dituntut kaum itu di pedalaman negeri ini sejak lapan tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun bagi mewartakan tanah adat itu perlu mengambil masa dan memerlukan perbincangan bersama agensi berkaitan dan Orang Asli.

“Kita akan mengaturkan perbincangan ini secepat mungkin dan akan menjemput wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan perkara itu.

“Orang Asli menuntut tanah adat kerana ianya sesuatu yang penting bagi melindungi masyarakat itu daripada berdepan kepupusan dan kemusnahan tanah peninggalan nenek moyang mereka dahulu.

“Kita di kementerian amat prihatin dengan nasib hidup kaum Orang Asli dan sedang mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan tuntutan itu,” katanya ketika perjumpaan dengan penduduk Orang Asli di sekatan laluan balak di Kampung Kaleg, Pos Tohoi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin; Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Mohamad Nizun Mohd. Nor dan

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along.

Sebelum ini, seramai 30 penduduk Orang Asli kecoh apabila menghalang kenderaan pengusaha ladang musang king di sekatan Kampung Kaleg, Pos Tohoi, untuk memasuki kawasan ke Pos Simpor. - UTUSAN ONLINE