Ketua Penolong Pengarah, Ba­hagian Pembangunan dan Pemantauan Projek, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Isma Masri Ismail berkata, peruntukan itu disalurkan me­lalui GiatMara bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah yang berusia lebih 40 tahun.

“Untuk membaiki secara ke­seluruhan rumah tersebut kosnya agak besar. Sebagai permulaan kita fokus untuk membaiki rumah tersebut berdasarkan peruntukan yang diberi melalui Program Bantuan Rumah.

“Rumah Mohd. Faizan Wahid, 35, akan dibaiki oleh pelatih dari GiatMara dengan segera bagi membolehkannya tinggal dengan selesa,” katanya ketika mengadakan lawatan ke rumah berkenaan di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar men­yiar­kan kisah Mohd. Faizan yang tinggal di rumah usang peninggalan neneknya kerana tidak mampu membaiki disebabkan keka­ngan sumber kewangan.

Rumah tersebut bukan sahaja dipenuhi tumbuhan liar dan se­ring menjadi tempat persinggahan haiwan liar seperti ular tetapi hampir runtuh.

Sementara itu, Mohd. Faizan, berkata dia bersyukur kerana ada pihak yang tampil membantunya untuk membaiki rumah tersebut mendapat peruntukan khas daripada kerajaan.

“Alhamdulilah, saya bersyukur sangat. Dengan pendapatan sebanyak RM1,100 saya tidak mampu untuk membaiki sendiri.

“Terima kasih kepada pihak yang banyak membantu sehingga masalah saya mendapat perhatian KKLW,” katanya.