Sejak Hari Raya Aidilfitri pertama hingga masuk ke minggu terakhir, bulan mulia itu berderet-deret jemputan diterima untuk berkunjung ke rumah menjamukan sanak-saudara serta sahabat handai dengan pelbagai juadah lazat.

Jemputan rumah terbuka ini dilihat dapat memeriahkan lagi tradisi masyarakat Melayu saling mengunjungi dan mengeratkan silaturahim lebih-lebih bagi mereka yang jarang bersua-muka dan jauh di perantauan.

Maka tidak hairanlah, di kampung-kampung pun sudah diadakan rumah terbuka untuk merapatkan anggota masyarakatnya.

Tidak kurangnya juga di kawasan bandar, ikatan kejiranan dan perpaduan kaum dapat diperkukuhkan lagi dan hubu­ngan yang lebih akrab terjalin menerusi penganjuran majlis-majlis seperti ini.

Begitu juga orang-orang ke­namaan, jabatan dan agensi kerajaan turut menganjurkan rumah terbuka untuk sama-sama meraikan antara hari bermakna dalam kalender umat Islam.

Konsep rumah terbuka cukup jelas, tetamu yang hadir bukan mahu mengisi perut semata-mata tetapi menggunakan ruang dan peluang itu untuk beramah mesra, me­ngu­capkan selamat hari raya dan bermaaf-maafan dengan sanak-saudara dan rakan-rakan yang tidak sempat ditemukan sebelumnya.

Ada yang menjadikan rumah terbuka itu sebagai rutin saban tahun dan ada berebut-rebut mengadakan rumah terbuka. Pendek kata, baik ahli keluarga ataupun rakan-rakan, mereka sudah memilih tarikh dari awal-awal lagi supaya tidak bertindih waktu dengan yang lain.

Bukan sahaja kaum keluarga yang menggunakan peluang ini bagi menganjurkan rumah terbuka, malah pihak korporat juga mengambil kesempatan ini bagi mengukuhkan jaringan perniagaan mereka bersama-sama rakan niaga dan pihak berkepentingan.

Tidak dilupakan juga untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik. Adalah lebih mulia meraikan hari raya ini dengan tidak mengenepikan mereka yang kurang berpeluang merasai nikmat yang sama kita kecapi.

Perlu diingat, niat mengadakan hari terbuka itu harus ikhlas untuk meraikan tetamu dengan mengambil keberkatan di Hari Raya Aidilfitri iaitu untuk bermaaf-maafan sesama kita.

Apa yang penting, kesucian Aidilfitri itu mesti dipelihara meskipun majlis rumah terbuka dihadiri golongan bukan Islam.

Seeloknya, tuan rumah harus memastikan penyediaan makan minum di rumah terbuka yang dianjurkan tidaklah secara berlebihan kerana hanya akan mengundang kepada pembaziran.