Presiden MAYC, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, seramai 15 anggota Rela dan 10 sukarelawan belia digerakkan untuk membaik pulih rumah itu.

Katanya, tindakan segera membaik pulih rumah terbabit dibuat supaya dapat mengatasi masalah tempat perlindungan ibu tunggal bersama tiga anaknya.

“Kami berharap sekurang-kurangnya empat beranak itu dapat tinggal dalam keadaan selesa dan boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan dengan sempurna.

“Saya simpati dengan nasib empat beranak itu dan kita akan segera membaik pulih dan ubah suai kandang kambing supaya menyerupai sebuah rumah kediaman,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan ibu tunggal bersama tiga anaknya terpaksa tinggal di kandang kambing itu sejak setahun lalu selepas bercerai dengan suaminya.

Ruslida kamarazaman, 38, bersama tiga anaknya berusia 2, 9 dan 13 tahun terpaksa tinggal di kandang kambing itu kerana tidak ada tempat berteduh.

Mohd. Syahbuddin dalam pada itu menambah, bahan binaan seperti kayu dan papan sumbangan kebanyakan kontraktor sekitar daerah ini yang turut bersimpati dengan keluarga terbabit.

“Kita akan membesarkan sedikit rumah ini dan akan asingkan ruangan tidur dengan tempat memasak dalam bangsal supaya keluarga terbabit selesa dan keselamatannya lebih terjamin daripada bahaya kebakaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE