Sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM100,000 itu telah diserahkan dalam satu majlis khas di hotel tersebut hari ini.

Pengarah Operasi Kumpulan Royale Chulan Hotels and Resort, Datuk Mokhtar Khir berkata, sumbangan tersebut adalah antara usaha yang dijalankan di bawah kempen We Care yang kini telah memasuki tahun keempat.

Katanya, sumbangan itu dikutip hasil daripada dua program di bawah kempen tersebut.

“Kutipan dibuat hasil daripada program Kasih Ramadhan sempena bulan puasa dan Candle Of Hope sempena perayaan Krismas tahun lalu.

“Program program itu dilaksanakan oleh seluruh kakitangan hotel yang mana turut tidak ketinggalan menderma. Atas usaha dan kerja keras mereka, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Antara penerima sumbangan tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan Nur Hati Selangor dan Kuala Lumpur, Rumah Ozanam, Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary Kuala Lumpur.

Turut menerima, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak Anak Islam Tersisih Selangor, Yayasan Sunbeams Home, Rumah Tunas Harapan Payung Seri Sejahtera Seri Menanti Kuala Pilah serta Persatuan Kebajikan Kanak Kanak Shemariah.

Sementara itu Pengurus Besar Royal Chulan Kuala Lumpur, Kamaruddin Baharin memberitahu, kutipan sumbangan mencatat peningkatan setiap tahun sejak kempen itu dilaksanakan.

“Kutipan kali ini adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan sepanjang ia berlangsung.

“We Care konsisten setiap tahun dengan objektif dan matlamat yang sama. Kempen ini akan kami teruskan untuk tahun tahun yang akan datang,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE