Pembinaan dewan bagi sekolah kecil di kawasan pendalaman itu yang dianggarkan menelan kos hampir RM30,000 itu adalah hasil sumbangan Roadcare (M) Sdn. Bhd.sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengarah Urusan Roadcare, Datuk Seri Muzaffar Syah Abd. Rahman berkata, syarikat yang diterajui memperuntukkan sebanyak RM5 juta tahun ini dalam membantu insitusi pendidikan, pelajar dan penduduk yang memerlukan di seluruh negara.

"Bidang pendidikan amat dekat di hati saya, InsyaAllah saya akan bantu melaksanakan impian warga sekolah untuk memiliki dewan.

"Selain itu, sebagai suntikan semangat buat enam calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah ini, saya menawarkan ganjaran RM1,000 kepada murid yang cemerlang 6A," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Shukor dekat sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Azhar Jambul, dan Fatimah Wati Salleh, Guru Besar wanita yang pertama bagi sekolah itu.

Terdahulu, Muzaffar Shah turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan beras kepada penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, beliau memberitahu, syarikat penyelenggara jalan itu telah memperuntukkan sejumlah RM74 juta bagi kerja-kerja CSR sejak penubuhannya 10 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE