Pengerusinya, Muhammad Fadzli Hassan berkata, program kali kedua yang menyasarkan belia Felda dari seluruh negara itu bertujuan memartabatkan belia dan sukan di peringkat cawangan dan wilayah seterusnya mengajak golongan berkenaan menyertai aktiviti lebih sihat.

Menurutnya, pada program kali ini MBFM memperuntukkan sejumlah RM2 juta dalam bentuk pengagihan barang keperluan kepada 317 persatuan belia Felda melibatkan 11 wilayah.

"Pemberian peruntukan ini bukan sahaja memberi impak dan kesan yang positif kepada belia di peringkat cawangan kerana secara tidak langsung usaha ini dapat membangunkan dan menggerakkan aktiviti sosial di tanah rancangan masing-masing.

"Di samping itu, ianya memberi ruang kepada persatuan menjana dan meningkatkan pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti), Anuar Malek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dan Pegerusi MBFM Wilayah Johor Bahru, Mahadir Mohd Tahar.

Fadzli berharap, dengan adanya sedikit keperluan yang diperoleh hari ini akan dapat meningkatkan imej belia felda di semua kawasan rancangan.

Pada masa sama katanya dapat menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai visi dan misi ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan membentuk komuniti pintar dalam kalangan peneroka menerusi Felda 2.0 yang digagaskan pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

"Selaku Pengerusi MBFM saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi termasuk Felda dan jabatan yang lain yang menyumbangkan peruntukan untuk diagihkan kepada rakan-rakan di peringkat cawangan dan wilayah," katanya. - UTUSAN ONLINE