RM1.2 juta atasi hakisan Pantai Tanjung Gelam
Ahmad Razif

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia adalah penyelesaian jangka masa pendek bagi meminimumkan kesan kemusnahan akibat hakisan ombak besar di sepanjang pantai berkenaan.

"Kita sudah ada peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM40 juta untuk penyelesaian jangka masa panjang, namun ia masih dalam proses kajian dan reka bentuk pemecah ombak yang sesuai agar hakisan tidak berlaku lagi di pantai itu.

"Apa yang telah dilaksanakan di pantai Tok Jembal sekitar Universiti Malaysia Terengganu dan Teluk Ketapang nampaknya berjaya meminimumkan kesan hakisan kawasan di kedua-dua pantai itu.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)telah mencadangkan agar dua pemecah ombak juga dibina di Pantai Tanjung Gelam.

"Namun, JPS perlu melakukan kajian itu dengan terperinci dan lebih berhati-hati agar apabila siap kelak, ia tidak memberi kesan kepada pantai di sekitar Batu Rakit pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek penyambungan terakhir Jambatan Pulau Sekati, di sini hari ini.

Ombak besar yang berlaku lewat petang semalam menyebabkan kerosakan jalan di kampung Tanjung Gelam selain merosakkan sebahagian beberapa rumah di kampung tersebut.

Ahmad Razif berkata, secara keseluruhannya, kerajaan pusat menyalurkan peruntukan RM90 juta bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Tok Jembal, Teluk Ketapang dan Tanjung Gelam.

"Selain itu, Jabatan Kerja Raya juga ada peruntukan RM30 juta, jadi nilai keseluruhannya ialah RM120 juta.

"Kerajaan negeri berharap peruntukan segera RM1.2 juta itu dapat membantu menyelesaikan masalah hakisan di Tanjung Gelam sementara JPS melantik kontraktor untuk pembinaan dua benteng pemecah ombak sebagai penyelesaian jangka masa panjang," katanya. - BERNAMA