Pemilik Riyaaz Event Space, Razidan Abdul Rashid berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya itu amat bermakna kerana melibatkan perkongsian bersama mereka den­gan golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, bacaan doa selamat turut diadakan pada sam­butan tersebut dan majlis yang bermula pada pukul 4 petang hingga 8 malam itu turut dihadiri lebih 100 masyarakat setempat.

“Kita mengambil inisiatif meraikan 200 kanak-kanak OKU ini bagi berkongsi kegembiraan bersama mereka, bagi saya ini adalah kaedah terbaik untuk me­nunjukkan golongan ini tidak pernah dipinggirkan oleh mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, kini sudah setahun penubuhan Riyaaz Event Space. Saya berharap selepas ini kita akan terus berjaya memberi perkhidmatan terbaik,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pe­nerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar.

Mengulas mengenai Riyaaz Event Space, Razidan berkata, pihaknya menyediakan pakej sewaan lokasi majlis perkahwinan lengkap dengan majlis berinai, bersanding, jurugambar, katering serta penginapan untuk tiga hari dua malam.

“Sambutan untuk tahun pertama kami amat menggalakkan, rata-rata pelanggan terdiri daripada mereka dari luar Kuala Lumpur. Harga yang kami tawarkan juga berpatutan dan lebih rendah berbanding lokasi lain iaitu hanya RM25,800 bagi 1,000 tetamu.

Dalam perkembangan sama, Jamawi berkata, program CSR Riyaaz Event Space amat bermakna sekali apabila mereka meraikan kanak-kanak OKU dan majlis itu wajar diadakan pada setiap tahun untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka.

Majlis sambutam ulang tahun pertama Riyaaz Event Space itu turut dihadiri oleh beberapa artis tanah air seperti Eiyra Syazira, Azad Jasmin dan Andy Flop Poppy.