Rumah kampung serba sederhana separuh papan, separuh batu dibina arwah suaminya itu kini antara penempatan terakhir setinggan di Kampung Pantai Dalam yang terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Ibu tunggal yang tinggal bersama anak lelaki bujangnya, Mohd. Rozali Rafaie, 40, itu kini bukan sahaj tertekan disebabkan kadar sewa tanah yang tinggi bakal dikenakan tuan tanah bermula April depan tetapi juga akan di­usir bila-bila masa sahaja.

Katanya, bertahun-tahun sebelum ini kadar sewa yang dibayar secara tahunan adalah RM600 sekali gus.

Bagaimanapun, bermula April dia perlu membayar RM400 sebulan selepas tuan tanah bersetuju menjual tanah itu kepada pemaju.

“Kami tidak mampu membayarnya dalam keadaan pendapatan bulanan yang hanya bergantung kepada duit pencen dan bantuan Baitulmal sahaja.

“Mak cik juga perlu mendapatkan rawatan susulan selepas pembedahan katarak di Hospital Kuala Lumpur dan semua ini memerlukan kos,” adunya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Lokasi tapak rumahnya di Jalan Pantai Dalam itu kini dalam proses pengambilan oleh pemaju dan ekoran itu dakwanya tuan tanah mengenakan kadar sewa tinggi bagi memberi tekanan kepadanya agar mengosongkan ta-nah yang disewa.

“Saya merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar dapat mempertimbangkan permohonan saya berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan.Saya tidak tahu hendak ke mana lagi.

“Harapan saya juga agar Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik dapat membantu memanjangkan perkara ini,” katanya.

Fatimah boleh dihubungi di talian 017-2963427 untuk maklumat lanjut.