Ramai yang hidup dalam keadaan serba kekurangan sehinggakan hendak makan pun mereka tidak mempunyai makanan. Mereka hidup dalam keadaan yang sungguh daif dan mungkin ramai yang sukar percaya bahawa masih ada golongan sebegini di negara kita.

Memang digalakkan untuk memberikan sumbangan dan bantuan pada bila-bila masa sahaja, namun bulan Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk menderma. Pahala yang diterima berlipat kali ganda jika bersedekah pada bulan yang mulia ini.

Pertubuhan My Charity Project Selangor (MCP) mengambil kelebihan bulan ini dengan tidak mahu ketinggalan bagi memberikan sumbangan kepada golongan asnaf di seluruh Malaysia.

Pengasas dan Pengerusi MCP, Nur Azlin Fathil, 37, berkata, hatinya terpanggil bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan asnaf setelah menyedari bahawa sebenarnya ramai anggota masyarakat kita yang hidup dalam kesusahan.

Dia cukup tersentuh apabila terbaca kisah di akhbar di mana tiga orang ibu tunggal yang terpaksa mencuri susu di pasar raya kerana tidak mempunyai wang untuk membeli susu. Bagaimanapun salah seorang daripadanya tidak diambil tindakan dan diberikan pekerjaan oleh pasar raya tersebut sementara dua lagi dipenjara.

Daripada situ, lahir idea untuk menyediakan charity chiller, peti sejuk besar di mana orang ramai boleh menghantar lebihan makanan mereka di sini dan diambil oleh fakir miskin dan asnaf. Ini merupakan projek sulung MCP.

Charity chiller diisi dengan pelbagai jenis makanan sumbangan MCP dan mereka yang hendak menyumbang makanan seperti pihak restoran, katering, peniaga makanan dan orang perseorangan.

“Kami mahu menggalakkan komuniti mendermakan makanan yang tidak habis. Bukan sisa tetapi makanan yang masih elok dan tidak basi. Daripada membazir dan dibuang ke dalam tong sampah, mereka boleh bungkus dan menghantar makanan untuk disimpan di dalam chiller ini.

“Orang ramai boleh menderma apa sahaja makanan seperti beras, kicap, bawang, tepung, ikan masin dan sebagainya. Pendek kata mereka boleh menyumbang makanan mentah atau yang sudah dimasak.

“Tanpa kita sedar ramai orang yang susah. Terdapat ramai komuniti miskin bandar yang walaupun bekerja tetapi dengan pelbagai keperluan yang perlu dilunaskan, pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi. Dalam keadaan tersepit, mereka boleh datang dan mengambil makanan di chiller ini.

“Kami meletakkan dua buah chiller, iaitu di Masjid Al Hasanah, Bangi dan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (IKM), juga di Bangi.

“Di Masjid UKM sahaja terdapat seramai 4,000 orang pelajar dalam kategori asnaf dan mereka sering mendapatkan makanan daripada chiller ini.

“Ada yang menjaga chiller ini supaya makanan yang diambil mencukupi bagi diri mereka kerana tidak mahu pembaziran atau berlebihan apabila mengambil makanan,” kata Nur Azlin yang juga Pengurus SolarCrest Sdn Bhd, syarikat milik sendiri di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, ketika ini MCP mempunyai seramai 30 orang ahli terdiri daripada komuniti di Bangi dan ramai sukarelawan.

Jelas ibu kepada tiga orang anak ini lagi, tahun lalu, MCP telah menghulurkan sumbangan berupa Bakul Ramadan bernilai RM150 berisi makanan asas seperti beras, bihun, tepung, gula, kopi, teh, biskut, makanan dalam tin.

Bakul Ramadan tersebut diagihkan kepada 128 keluarga miskin di Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Johor dan Lembah Klang.

Tambahnya, tahun ini MCP menyasarkan memberi Ramadan Box MCP, yang juga berisi bahan makanan kepada seramai 300 buah keluarga di seluruh negara.

Bahan makanan di dalam kotak tersebut disumbangkan oleh pihak korporat dan orang perseorangan. Golongan asnaf yang diberikan sumbangan ini akan dikenal pasti oleh wakil-wakil MCP di seluruh negara.

Selain memberikan sumbangan makanan, Nur Azlin juga memberi tunjuk ajar kepada golongan miskin ini bagaimana hendak berniaga dan mencari pendapatan sendiri.

Ini katanya, supaya mereka boleh berdikari dan berusaha untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, bukan hanya menunggu bantuan datang kepada mereka.

Dia juga dalam perancangan untuk menyediakan Bank Makanan yang seakan-akan sebuah gudang yang menyimpan makanan kering bagi disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, dia sangat menggalakkan supaya NGO lain turut menyertai Bank Makanan dengan melayari laman sesawang www.mycharityproject.my.