Ramai tidak terkejut bila tular berita vandalisme termasuk ke atas bangku, dinding dan tandas hanya sekitar lima hari selepas MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dilancarkan kerana sikap buruk segelintir warga kota atau warga mana pun seperti itu sudah berakar umbi begitu lama dan cambahannya semakin menular.

Mentaliti kelas ketiga ini pun sudah banyak kali dibincang dan dibahas. Bukan setakat vandalisme yang menjejaskan kemudahan awam tetapi tabiat buruk lain yang banyak boleh dilihat contohnya.

Namun boleh dikata bagai 'mencurah air ke daun keladi', 'Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri' dan banyak lagi kiasan berkait isu ini.

Kalau tanya pandangan orang ramai tentang sikap buruk ini, pasti akan ada yang berkata: “Cakap apa pun, pi mai pi mai tang tu juga” kerana masih ada “tangan-tangan gatal” yang mahu meninggalkan “hasil seni” mereka di merata tempat kecuali rumah masing-masing, agaknya.

Hendak tengok sikap buruk ini tidak payah pergi jauh. Ambil dulu kawasan kejiranan. Perhatikan sahaja jika ada perhentian bas, tiang lampu atau tiang lampu isyarat, struktur TNB, longkang, taman permainan dan kawasan riadah. Apa yang anda akan lihat? Sudah tentu contengan, goresan dan pelbagai tampalan iklan termasuk nombor telefon ah long serta peralatan yang patah, tercabut atau dicabut dan sampah sarap termasuk pontong rokok!

Ini belum lagi pokok yang di taman di tepi rumah yang bertukar menjadi semak, dengan bekas bertakung air dan kawasan rumput atau pasir yang menjadi ‘tandas awam’ haiwan peliharaan dan liar.

Kawan penulis yang tinggal di sebuah kondominium di Lembah Pantai acap kali merungut sikap segelintir penghuni tingkat atas yang mempunyai hobi mencampak barang atau sampah. Pernah sekeping pintu gelongsor yang rosak dengan sewenang-wenangnya dicampak tanpa memikirkan keselamatan penghuni lain!

Berbalik kepada vandalisme yang berlaku di stesen MRT, pihak berkuasa dan yang menguruskan premis berkenaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang ditangkap melakukan kerosakan itu.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana sikap buruk ini boleh merebak memandangkan ribuan orang menggunakan khidmat MRT setiap hari.

MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dilaporkan memasang 6,018 unit sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan usaha sedang dibuat untuk menjejak pelaku vandalisme itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp., Datuk Najmuddin Abdullah dipetik sebagai berkata, tindakan tegas boleh diambil ke atas pelaku vandalisme mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Pesalah, katanya, boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan jika sabit kesalahan!

Eloklah juga pesalah itu dikenakan hukuman membersih serta mencuci stesen MRT dengan digantungkan pelekat ‘saya pesalah vandalisme’ supaya menjadi pengajaran kepada pengguna MRT yang lain.

Didikan untuk tidak melakukan vandalisme perlu bermula dari rumah.

Jika di rumah anak dibiar melakukan sesuka hati sehingga merosakkan kerusi meja dan menconteng di sana-sini, bercakaran sesama adik beradik, bagaimana untuk mengharapkan anak ini dapat mengawal kelakuannya di luar rumah iaitu di tadika atau di sekolah?

Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kerana tindak-tanduk ibu bapa akan diteladani anak. Jika di luar rumah, ibu bapa perlu mengawal pergerakan atau kelakuan anak.

Kita boleh lihat di gedung beli-belah sebagai contoh, anak yang dibiarkan berlari ke sana-sini, bermain di tangga bergerak atau lif, seolah-olah mereka tidak pernah dapat bebas berlari!

Pernah penulis menegur dua kanak-kanak yang bermain pada papan kekunci mesin ATM, menekan di sana-sini sedangkan ibu bapa mereka ada berhampiran sedang beratur menunggu giliran untuk menggunakan mesin ATM.

Tidak pun mereka menegur anak mereka sehinggakan penulis yang tidak tahan melihat gelagat kanak-kanak itu menghampiri dan menegur mereka supaya menghentikan perbuatan mereka.

Sedikit pun ibu bapa mereka tidak berkata apa-apa atau memanggil dan menegur anak tadi.

Maaf cakap, mentaliti ibu bapa ini sudah tentu tidak akan dapat mendidik anak untuk menjadi warga kelas pertama. - BERNAMA