Program-program tambahan dan pendidikan di pusat itu kini mampu menampung sehingga 100 kanak-kanak Orang Asli berbanding 40 orang sebelum ini, berikutan penambahan dan penaiktarafan pelbagai kemudahannya, kata Pengarah Eksekutif Malaysia Care, Wong Young Soon.

Pusat latihan itu, yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan masyarakat dan kemudahan penyelidikan pertanian Ladang Care, yang dibangunkan dengan tujuan memandiri dan mendikarikan masyarakat setempat.

“Penaiktarafan ini termasuklah pembinaan lima bangunan baharu untuk penginapan dan bilik darjah agar dapat melatih lebih ramai peserta.

“Bangunan itu merangkumi dua blok kelamin, dua asrama dan satu blok komuniti terdiri daripada bilik-bilik darjah, perpustakaan, dewan, dapur dan bilik penyimpanan,” jelas Wong.

Beliau berkata, program untuk kanak-kanak bermula pada sesi persekolahan baharu yang telah bermula awal tahun.

“Kanak-kanak dari kampung-kampung berdekatan akan datang ke sini selepas waktu sekolah untuk menghadiri program pendidikan tambahan yang memberi penekanan kepada subjek-subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Mereka juga akan mempelajari ‘Ilmu Hutan’, iaitu mengenai herba dan penanaman organik sebagai usaha mengekalkan warisan mereka,” katanya kepada Bernama.

Wong berkata, pusat itu juga akan digunakan untuk tujuan pembangunan pendidikan masyarakat termasuk memberi latihan pertanian mampan kepada golongan dewasa.

Beliau yang menjangkakan terdapat peningkatan bilangan peserta pada 2017 berkata; “Dengan kemudahan baharu, lebih 50 peserta boleh mengambil bahagian berbanding 16 sebelum ini.

“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan lebih ramai orang pada masa akan datang.”

Beliau berkata, sejak 2010, pusat komuniti itu telah melatih lebih 150 peserta yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli, golongan petani dan pekerja komuniti.

“Mereka dilatih mengenai teknik dan teknologi pertanian serta perladangan mampan terutamanya kaedah organik. Kebanyakan peserta menternak kambing selepas tamat latihan,” kata beliau sambil menambah bahawa sebilangan besar peserta adalah dari Perak dan Pahang.

Latihan pertanian mampan diadakan empat kali setahun dan mengambil masa satu minggu untuk setiap sesi.

 

BANTU SEDIAKAN PUSAT LATIHAN

Beliau berkata, pusat latihan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan sumbangan organisasi-organisasi korporat serta orang perseorangan.

“Antaranya adalah pengeluar keluli global NS BlueScope Malaysia Sdn Bhd dan Swissma Building Technologies Sdn Bhd yang menyediakan bumbung berkualiti untuk pusat latihan ini.

“NS BlueScope turut menyumbangkan bahan-bahan untuk bumbung bangunan lama,” katanya.

Berhubung projek naik taraf itu, Presiden NS BlueScope bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Pongsak Padungkarn berkata, kemudahan itu adalah satu komponen penting jangka panjang untuk masyarakat mampan.

“Syarikat menyediakan bahan untuk produk bumbung dan Swissma menterjemahkan bahan-bahan itu sebagai produk akhir, serta memasangnya.

“Projek ini menggunakan lebih 3,000 kaki produk-produk bumbung bagi keseluruhan bangunan dan melibatkan kos RM150,000.

“Oleh itu, kami berharap projek ini akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di sini, melalui kedua-duanya iaitu dengan penambahbaikan infrastruktur dan faedah-faedah tambahan latihan yang akan meningkatkan kemahiran dan kecekapan individu,” katanya. – BERNAMA