Pada masa yang sama, anak juga adalah penyeri sebuah rumah tangga tidak kira sama ada anak itu normal mahupun anak istimewa.

Apa yang perlu dititikberatkan ibu dan bapa ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kesabaran, di samping memahami kekuatan serta kelemahan masing-masing.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa, bukan sahaja perlu memberikan perhatian dan penjagaan khusus, bahkan mereka seharusnya diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran diri dengan menjalani latihan dan aktiviti.

Menyedari hakikat tersebut, Nori Abdullah bersama Datin Rahmah Mahmood dan Hana Jamaluddin, berganding bahu membuka We Rock The Spectrum, gimnasium untuk kanak-kanak istimewa.

Gimnasium tersebut menyediakan tempat untuk kanak-kanak istimewa ini bermain dan bergaul bersama.

Menurut Nori, gimnasium tersebut yang telah memulakan operasinya di California, Amerika Syarikat pada 2010, telah memilih Malaysia sebagai lokasi untuk membuka francais antarabangsanya yang pertama.

Mampu memberi satu pendekatan baharu buat kanak-kanak istimewa, tambahnya, gimnasium tersebut menyediakan 10 peralatan berasaskan terapi yang direka khas untuk memberikan kanak-kanak rangsangan deria dan input yang diperlukan bagi proses tumbesaran yang lebih baik.

“We Rock The Spectrum sememangnya sebuah gimnasium khusus untuk kanak-kanak istimewa, namun tetap terbuka untuk kanak-kanak lain menikmati pengalaman istimewa di sini.

“Apa yang membezakan dengan gimnasium biasa, ia menyediakan keperluan dan peralatan khusus untuk kanak-kanak istimewa seperti peralatan terapeutik dengan rekaan unik untuk menggalakkan pembelajaran, tumbesaran dan permainan sensori yang selamat.

“Pada masa yang sama anak-anak istimewa ini boleh bermain sepuas-puasnya tanpa perlu rasa bersalah, tiada sekatan, dan tidak perlu meminta maaf atas kelakuan mereka. Kita semua sedia maklum kanak-kanak istimewa mempunyai tingkah laku yang tersendiri, malah mereka tidak tahu sama ada perkara yang mereka lakukan itu betul atau salah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran We Rock The Spectrum di Evolve Concept Mall, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut suami Nori, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dapat mengenal pasti bahawa adanya tempat yang boleh dikunjungi bersama dengan anak istimewa adalah sesuatu yang melegakan hati ibu bapa.

Pada masa yang sama ia seolah-olah memperkasakan ibu bapa yang memiliki anak istimewa, yang sudah tentu mempunyai keperluan agak unik dan kadang kala mencabar.

Bercerita lebih lanjut mengenai gimnasium tersebut, Nori menjelaskan, We Rock The Spectrum membuka peluang untuk aktiviti-aktiviti berkaitan terapi dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.

Memandangkan sesi terapi, seperti terapi cara kerja bersama pakar kanak-kanak kelainan upaya adalah sangat mahal, justeru Nori berharap dengan adanya gimnasium tersebut, dapat menggalakkan keluarga dengan kanak-kanak berkeperluan khas turut keluar bersama menjalankan aktiviti yang boleh membantu mereka mencapai potensi diri.

“Misi We Rock The Spectrum ada kaitan peribadi dengan semua pemiliknya. Misalnya, Datin Rahmah sendiri mempunyai ramai rakan dan ahli keluarga yang mempunyai keperluan khas, anaknya turut bergelut dengan masalah proses informasi sensori dan masalah pembelajaran sewaktu membesar.

“Anak perempuan Hana pula mengalami sindrom Down dan sebagai seorang ibu, Hana amat memahami akan kepentingan wujudnya tempat-tempat yang boleh memenuhi keperluan anaknya itu,” katanya lagi.

Bagi mereka yang berminat, yuran masuk hanyalah RM48 untuk seorang (kanak-kanak) malah pihak We Rock The Spectrum turut menyediakan pakej kemasukan berulang kali dan keahlian.

Selain, itu gimnasium ini turut mengendalikan kelas aktiviti kanak-kanak dan perkhidmatan parti hari jadi serta pelbagai majlis lain.