Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan perkampungan yang dibahagikan kepada Keramat Luar dan Keramat Dalam itu mendapati, selain perumahan di atas tanah lot, terdapat penempatan setinggan dan perumahan bertingkat di kawasan berhampiran.

Kesesakan lalu lintas turut berlaku setiap hari terutama di Keramat Dalam bermula dari Pasar Datuk Keramat yang uzur dan sempit sehingga ke Jalan Jelatek.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad, 45, berkata, dia tidak menolak kemungkinan faktor tersebut menyebabkan golo­ngan remaja yang tinggal di kawasan penempatan itu mencari jalan untuk berhibur termasuk di beberapa taman tasik rekreasi berdekatan.

Menurutnya, tahap keselamatan di Taman Tasik Keramat yang agak longgar turut menyebabkan ia mudah dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

“Setiap malam sehingga menjelang pagi sememangnya kawa­san tasik berhampiran menjadi lo­kasi anak-anak muda berkumpul untuk menghidu gam dan menghisap dadah.

“Apabila ditegur, mereka memarahi saya semula. Mereka tidak puas hati dengan mengatakan saya penyibuk dan berlagak,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Hari ini, Mingguan Malaysia menyiarkan laporan berhubung kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang mengesahkan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akibat perbuatan khianat, bermotifkan bakar dan balas dendam.

Amer Shueb, 29, pula berkata, kawasan perkampungan itu sudah terlalu padat lebih-lebih lagi apabila beberapa bangunan pencakar langit didirikan di sebelah kiri dan kanannya.

Menurutnya, sejak dahulu lagi kawasan perumahan bertingkat di kawasan itu sememangnya menjadi sarang penagih dadah.

“Sebagai contoh, sebuah rumah pangsa yang dikenali sebagai Flat Colombia di AU2, Keramat memang terkenal dengan aktiviti penagihan dadah sejak 1980-an,” katanya.