Menerusi program Komuniti Kepolisan selama tiga hari itu, masyarakat Orang Asli didedahkan dengan aset PSP dan kelainan keistimewaan pasukan seragam itu.

Malah, penduduk setempat juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya pemakaian baju operasi, acara sukaneka termasuk pertandingan menyumpit, berlari dalam guni, menebang pokok menggunakan beliung dan mencari akar kayu untuk ubatan tradisional.

Selain itu, empat ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM juga dibawa bagi menarik minat penduduk tempatan hadir ke program berkenaan.

Menurut Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak, program julung kali itu diadakan bagi mendekatkan hubungan antara masyarakat Orang Asli dan pasukan keselamatan.

Ujar beliau, menerusi program tersebut juga masyarakat Orang Asli boleh mendapatkan maklumat lebih mendalam berkenaan tugas dan kerjaya polis serta mengetahui setiap unit di dalam pasukan berkenaan.

Jelasnya, pameran kelengkapan seperti senjata dan pakaian seragam PSP dan Pasukan Gerakan Am (PGA) turut diadakan di samping pemeriksaan kesihatan.

“Kita turut menampilkan Batilion Ke-3 PGA Bidor, Unit Berkuda dan beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pendidikan dari daerah Tapah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Abdullah memberitahu, pihaknya memberi sumbangan kepada penduduk Orang Asli dan melakukan pembaikan rumah di bawah Projek Jiwa Murni.

Sementara itu, penduduk setempat, Wak Ai Poked berkata, kehadiran PSP menaikkan semangatnya untuk menyertai pasukan tersebut.

“Saya harap dapat pakai pakaian seragam PSP seperti yang diperagakan beberapa remaja dalam pertandingan yang dianjurkan,” ujarnya.

Menurut Wak Ai, kehadiran pasukan itu juga mendedahkannya dan remaja Orang Asli tentang unit serta bahagian yang terdapat dalam polis.