Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, mereka boleh menyalurkan dana atau apa sahaja sumbangan bagi membolehkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kelas-kelas tambahan dan motivasi peperiksaan yang dianjurkan Yapeim di seluruh ne­gara khususnya pada tahun ini dan tahun hadapan. 

“Setakat ini kita menjalinkan kerjasama beberapa pihak se­per­ti Yayasan Taqwa, anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Felcra yang banyak memberi sumbangan kepada Yapeim. 

“Kita juga berharap lebih ba­nyak syarikat termasuk institusi-institusi kewangan dan yayasan pendidikan untuk turut bersama Yapeim menjayakan program ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan da­ripada Yayasan Taqwa untuk Program Inspirasi Pendidikan dan Inspirasi Ramadan Yapeim 2017 di Ibu pejabat Yapeim. 
Sumbangan bernilai RM100,000 itu diserahkan oleh Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabi­di Nasan kepada Abibullah.

Menurut Abibullah, Yapeim akan membantu bagi memastikan dana itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pencapaian dan keputusan cemerlang para pelajar.

“Usaha melabur dalam bidang pendidikan ini benar-benar satu usaha yang sangat murni kerana hanya melalui pendidikan sahaja dapat membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan,” katanya.