Sebaliknya, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program yang diwujudkan itu bertujuan membantu semua lapisan masyarakat termasuk di peringkat akar umbi.

“Pelbagai program telah dijalankan termasuk BiKUM membantu membuka akaun pendidikan percuma kepada pelajar sekolah rendah seluruh negara.

“Bagi seluruh negara, sebanyak 20,000 penerima mendapat peluang menerima akaun pendidikan percuma bernilai keseluruhan RM2 juta menerusi program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program UMNO Bantu Rakyat anjuran BiKUM bagi Parlimen Tangga Batu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Dataran 1Malaysia Klebang di sini hari ini.

Dalam program tersebut, lebih 400 penerima mendapat pelbagai bantuan termasuk kelengkapan persekolahan, barangan dapur, perkhidmatan perubatan bagi mereka yang memerlukan rawatan serta akaun pendidikan yang keseluruhannya bernilai RM300,000 bagi Parlimen Tangga Batu.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, bantuan berkenaan adalah salah satu usaha yang dilakukan BiKUM sebagai persediaan dalam mengubah kehidupan mereka pada masa hadapan.

“Ini merupakan pendekatan yang kita buat setakat ini dan saya percaya bila kita sudah mendekatkan anak-anak kecil dengan kita, suatu hari nanti mereka akan menghargai kerajaan yang membantu mereka.

“(Bantuan) ini bukan gimik untuk menunjuk-nunjuk atau mengaburi mata rakyat tetapi kita benar-benar merancang untuk masa depan rakyat dan atas sebab itu kita peruntukkan satu jumlah yang besar untuk mereka,” jelas beliau.