Program dua hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kampung Wang Belimbing dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia kawasan itu.

Program santai itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah dan sukaneka selain pengisian lain kepada semua peserta yang terdiri daripada setiap peringkat umur khususnya kanak-kanak.

Ketua UMNO Cawangan Wang Belimbing, Kamis Harun berkata, aktiviti tahunan itu mampu menjadi landasan terbaik kepada penduduk dalam mengeratkan hubungan sesama mereka melalui semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, sambutan penduduk amat menggalakkan kerana hampir 100 peratus penduduk pelbagai peringkat usia di kampung ini dan kawasan sekitar hadir menjayakan program ini.

"Melalui program seperti ini kita dapat berkumpul bersama melibatkan seluruh penduduk kampung. Kita akan meneruskan aktiviti seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Tambahnya, antara yang menarik sempena program tersebut adalah seperti aktiviti memancing, permainan karom, sepak penalti gol kecil, mencari gula-gula dalam tepung, memancing botol dan pelbagai lagi sukan lain melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Katanya lagi, program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Rela Ahmad yang meluangkan masa bersama penduduk dan menyaksikan pelbagai aktiviti yang disediakan itu.

"Selain itu, pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada para pemenang setiap acara sukaneka tersebut selain cenderahati untuk semua penduduk serta hadiah cabutan bertuah," katanya. - UTUSAN ONLINE