Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gagasan ‘Johor Berkemajuan’ bukan semata-mata menekankan pembangunan dan kemajuan ekonomi, malah juga kesejahte­raan rakyat.

“Kita mahu menghidupkan konsep Johor Prihatin, iaitu masyara­kat negeri ini hidup ber­asaskan kebaikan.

“Anggota masyarakat perlu prihatin dan ambil peduli terhadap anggota masyarakat lain, khusus­nya yang kurang bernasib baik,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Muafakat Permas 2, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Pengurus Besar (Bahagian Perkhidmatan Pelanggan) TNB negeri, Datuk Badrol Sham Saad.

Dalam pada itu, tambah Mohamed Khaled, TNB merupakan di antara syarikat-syarikat gergasi di Malaysia yang menjadi penyum­bang terbesar kepada negeri.

“Mereka memulangkan kembali keuntungan yang diraih kepada rakyat dengan cara sebegini. kita doakan TNB akan sentiasa mencatatkan keuntungan demi kebaikan rakyat,” katanya.

Dalam program itu, seramai 400 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun depan.

Program Back To School bermula pada 2013 yang merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat TNB.

Sumbangan berupa kelengkapan persekolahan tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa murid-murid terlibat dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak mereka.

Menurut Badrol Sham, sumbangan tersebut sedikit seba­nyak akan membantu menaikkan semangat murid-murid terlibat, seterusnya membolehkan mereka belajar dalam keadaan sempurna dan selesa.

“Secara tidak langsung ini akan meningkatkan tumpuan me­reka terhadap pembelajaran,” katanya.

Tambahnya, sejak dimulakan hingga kini, seramai 12,000 murid daripada lebih 800 sekolah di seluruh negara te­lah menerima bantuan ber­kenaan.

“TNB menjangka lebih 10,000 lagi murid akan menerima manfaat tersebut pada masa depan,” katanya, sambil menambah kata, setiap penerima memperoleh pakaian sera­gam, kasut dan beg dengan keseluruhan bernilai kira-kira RM200.