Antara objektif lain program berkenaan ialah menggerakkan sukarelawan dalam masyarakat, memperkasakan kumpulan sasar, menguar-uarkan perkhidmatan kebajikan, memupuk semangat sukarelawan dan meggalakkan kolaborasi pelbagai agensi.

Menurut Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, di Selangor sahaja, terdapat 350 orang sukarelawan yang aktif menjayakan program kembara itu untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Penglibatan masyarakat secara menyeluruh bersama kerajaan dalam kerja dan akti­viti kebajikan amat penting dan perlu digalakkan agar ia menjadi tangungjawab bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Mohamad Hanafi Maulud.

Mengulas lanjut, Noh berkata, program berkenaan bukan dianjurkan untuk keuntungan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun, sebagai program untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Mohammad Hanafi berkata, peserta program berkenaan akan memainkan peranan untuk melakukan aktiviti kesukarelaan seperti membersihkan halaman rumah, membaiki rumah serta menghulurkan sumbangan makanan dan barangan penjagaan diri.

“Sasaran program kembara ini ialah memupuk kerjasama dan komitmen padu semua pihak dalam menjayakan Program Khidmat Bantu Di Rumah kepada warga emas dan OKU yang memerlukan khidmat sosial.

“Sehingga kini, sebanyak 317 orang warga emas dan 250 OKU telah mendapat manfaat dengan kehadiran peserta Kembara Kebajikan 1Malaysia dan saya percaya jumlah golongan yang dibantu akan bertambah selepas kita memperhebatkan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 1 Mac lalu, sebanyak 72,503 OKU telah berdaftar dengan JKM.