Menurut Panglima Medan Timur Tentera Darat (TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, pelbagai perkhidmat­an kesihatan disediakan seperti saringan kesihatan, pemeriksaan dan rawatan pergigian di samping projek pembinaan sepanjang program tersebut.

Katanya, menerusi program tersebut, penduduk berpeluang mendapatkan perkhidmatan perubatan yang disediakan peserta eksesais terdiri daripada tentera Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita (ATM) juga membantu daripada segi kepakaran dan kemahiran anggota untuk bekerjasama dengan peserta eksesais dari negara lain yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melawat CHOT yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Asisten Ketua Staf J7 Markas Angkatan Bersama, Laksamana Pertama Chan Peng Cheong.

Mohd. Zaki menyeru masya­rakat setempat agar mengambil peluang mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma menerusi program tersebut sebelum ia berakhir pada petang esok.

Antara kaunter rawatan yang mendapat sambutan dalam pameran tersebut ialah kaunter pemeriksaan mata oleh pakar optometri Tentera Laut Amerika Syarikat kerana mereka yang menjalani pemeriksaan akan diberikan cermin mata percuma.

Turut mendapat sambutan ialah persembahan kumpulan kugiran, US Pacific Fleet Band ‘Pipeline’ yang mempersembahkan 10 lagu Inggeris dan sebuah lagu Melayu bertajuk Assalamualaikum Ustazah nyanyian Kumpulan Khalifah.

Selain itu, orang ramai juga enggan melepaskan peluang untuk melihat pameran pera­la­tan ketenteraan oleh Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja dan mendaftar menyertai askar wataniah di kaunter yang dibuka di situ.

Selain tentera, agensi lain yang turut menyertai pameran dalam program tersebut adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pertanian Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bau.