Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan terutama persediaan ibu bapa dalam menghadapi musim persekolahan yang baharu.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB negeri, Datuk Baderul Sham Saad berkata, program itu merupakan inisiatif pihaknya selaras dengan fokus TNB dalam bidang pendidikan.

“TNB memahami kekangan kewangan yang dihadapi ibu bapa terutama mereka yang mempu­nyai ramai tanggungan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dengan sempurna,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Kelengkapan Persekolahan sempena Program Semarak Seni Muafakat Johor di Dewan Serbaguna Parit Terus Sanglang di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri, Zaifri Husin; Pegawai Pendidikan Daerah, Zainal Buang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Kamaluddin Jamal.

Baderul Sham berkata, program Back To School yang diadakan sejak 2013 telah memberi manafaat kepada 12,000 pelajar yang melibatkan 800 buah sekolah di seluruh negara.

“Tahun ini pula, seramai 10,000 pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan menerima sumbangan yang akan disampaikan secara berpe­ringkat-peringkat,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni berkata, TNB melakukan banyak CSR untuk masyarakat antaranya me­­­laksanakan program pemasa­ngan lampu jalan di kampung-­kampung yang memberikan keceriaan pada waktu malam selain bagi keselamatan orang ramai.