Kempen Add Hope yang sebelum ini dikenali sebagai World Hunger Relief yang sudah 10 tahun dijalankan me­rangkumi kempen kesedaran dan kutipan dana dianjurkan mulai 31 Mei hingga 4 September tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp.), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, sambutan diterima amat menggalakkan sekali gus membuka lembaran baharu bagi bantuan disalurkan kepada lebih ramai individu dan keluarga memerlukan.

“Add Hope adalah komitmen jangka panjang dan menuntut kerjasama setiap pihak untuk bersama-sama melakukan perubahan. Saya amat menghargai sumbangan setiap warga kerja di KFC yang menjayakan usaha ini,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis Penye­rahan Dana Add Hope KFC yang disempurnakan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Yang turut hadir, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam dan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Kamaruzzaman berkata, sebahagian besar kutipan dana itu akan disalurkan ke seluruh negara menerusi usaha sama de­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan sebahagian lagi diberikan kepada Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu mereka yang menderita kelaparan.

Beliau yang juga Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd. menjelaskan, sehingga tahun lalu, kempen itu berjaya mengumpul lebih RM21.3 juta di peringkat tempatan dan lebih AS$640 juta (RM2.85 juta) di pe­ringkat antarabangsa.