Itulah situasi sukar yang perlu dihadapi seorang bekas mekanik, Md. Razali Abu Bakar, 45, bersama isteri, Nurul Ain Noor Azman, 33, serta tiga anaknya, Muhammad Ikhwan, 8, Auni Maisarah, 4, dan Airah Safiyah (10 bulan).

Apa yang berlaku itu adalah satu ujian daripada Allah dan dia reda menghadapinya, namun tetap per­lu memikirkan masa depan keluarganya agar mereka tidak hanya bergantung kepada bantuan serta simpati masyarakat.

Kesempitan dilalui keluarga itu bagaimanapun berkurangan apabila permohonan Md. Razali untuk mendapat bantuan rumah baharu di bawah Projek Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) diluluskan dan siap untuk diduduki dalam masa tidak sampai dua bulan.

“Saya sangat bersyukur ke­rana sudah lama mengimpikan mempunyai rumah sendiri untuk keselesaan isteri dan anak-anak namun disebabkan kekurangan upaya, impian itu hanya tinggal impian.

“Tak sangka dalam banyak-banyak permohonan, kami dipi­lih untuk menerima rumah yang cukup selesa dan cantik ini. Terima kasih kepada TNB serta orang kampung yang banyak membantu kami dari segi permohonan dan sebagainya bagi mendapatkan ban­tuan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Jelas Md. Razali lagi, rumah berharga RM50,000 itu turut dilengkapi perabot baharu sumbangan TNB dan jiran setempat yang amat prihatin dengan kekurangan dihadapi keluar­ganya.

“Alhamdulillah, satu beban dapat diringankan dengan ada­nya rumah selesa ini namun sa­ya tetap berharap dapat diberi nikmat kesihatan untuk bekerja semula bagi menyara keluarga dan tidak berharap pada bantuan semata-mata.

“Saya berhasrat untuk bernia­ga secara kecil-kecilan di hadapan rumah seperti menjual air batu campur atau sayur-sayuran kampung yang dapat memberi kami pendapatan walaupun tidak seberapa,” ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak mahu menyusahkan isteri apatah lagi menyuruh isterinya bekerja walaupun dia mampu kerana anak-anaknya masih kecil malah anak sulungnya memerlukan penjaga­an sepenuhnya kesan penyakit dihadapi sejak dua tahun lalu itu.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM230 selain bantuan makanan dan bantuan penyakit kronik masing-masing sebanyak RM200 dan RM300 sebulan disumbangkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” tambahnya.

Sementara itu isterinya, Nurul Ain berkata, dia menganggap bantuan rumah itu sebagai rezekinya sekeluarga setelah lebih lapan tahun tinggal di rumah pusaka berumur lebih 50 tahun milik datuk suaminya di tapak asal rumah baharu tersebut.

Katanya, dia berdepan ma­salah untuk menguruskan suami yang kini sudah lebih empat bulan terlantar sakit dan juga anak sulung yang menghidap radang sendi kerana rumah pusaka itu mempunyai tangga.

“Anak sulung saya memerlu­kan penjagaan dan perhatian yang le­bih dari dua adiknya ke­rana penya­kit dihadapinya itu se­ring datang secara tiba-tiba malah disebabkan penyakit itu, pembesarannya terbantut dan kelakuannya tidak seperti kanak-kanak normal lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Idris ketika ditemui memberitahu, program tanggungjawab sosial TNB itu diharap dapat meringankan beban rakyat dan membolehkan mereka menikmati kualiti kehidupan lebih baik dengan tempat tinggal selesa seterusnya membolehkan mereka memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan hasil pendapatan.

“Harapan saya, penerima dan keluarga harus tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa di rumah baharu yang siap dibina TNB ini. Mudah-mudahan penyakit pene­rima juga akan bertambah baik seterusnya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna,” ujarnya.

Hadir sama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duri­an Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip; Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin; Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Melaka, Bahagian Pem­bahagian TNB, Ahmad Rezahan Mohammad.

Tambah Mohd. Aminuddin, di seluruh negara, sebanyak 547 rumah telah mendapat manfaat melalui program yang mula diperkenalkan sejak 2007 itu de­ngan kos keseluruhan mence­cah RM22.3 juta.

“Pada tahun ini pula, TNB sudah memperuntukkan sebanyak RM5.7 juta melibatkan 108 rumah manakala di Melaka, sebanyak 17 buah rumah terlibat di dalam projek ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM655,000,” jelasnya.