Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memuji program berkenaan bertitah, pengamal media Pahang dan wakil NGO terlibat membuktikan keprihatinan mereka terhadap insan kurang bernasib baik.

“Program ini juga bukan sahaja sebagai tanda sokongan bagi membantu rakan mereka yang merupakan wartawan Sinar Ha­rian, Mohamad Feisal Mohamed Norawi yang berada dalam kesusahan malah menunjukkan ukhwah persahabatan yang utuh.

“Diharapkan, usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang bukan sahaja menganjurkan program sebegini tetapi aktiviti lain,” titah baginda selepas menyempurnakan gimik perasmian program cuci kereta amal itu di premis cuci kenderaan Reezqi Autospa, di sini semalam.

Fahim Aqeed disahkan menghidap sindrom down sejak dilahirkan dan sudah menjalani pembedahan pertama pada November tahun lalu dengan kos sebanyak RM20,000.

Anak lelaki bongsu daripada empat beradik itu dijangka menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara, Mac ini bagi menutup lubang pada jantungnya yang dianggarkan menelan belanja RM30,000 hingga RM40,000.

Tengku Abdullah turut menzahirkan keyakinan pembedahan itu dapat disempurnakan dengan jayanya memandangkan keupayaan pakar bedah jantung dimiliki negara.

Dalam pada itu, baginda turut menyerahkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga Mohamad Feisal selain sumbangan wakil NGO serta individu perseorangan.