Detik-detik yang cukup menyeronokkan mereka dilalui hasil program amal anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kontinjen Terengganu, dengan kerjasama sebuah syarikat korporat tempatan.

Ia sempena program Mereka Tetap Ceria Ke Sekolah, dan anak-anak yatim itu turut diraikan dalam majlis makan tengah hari di sebuah hotel ternama di bandar raya ini.

Ketua Jabatan JPJKK Negeri, Assistan Komisioner Redzuan Abdul Hamid berkata, pihaknya mengerakkan program itu dengan kerjasama Mextec Corporation (M) Sdn. Bhd.

"Kita harap dengan adanya program sebegini, ia dapat membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim dan merangsang semangat mereka untuk terus belajar dengan tekun.

"Program seperti ini merupakan satu pendekatan dalam menunaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan memerlukan dan secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat,” katanyanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Mextec Corporation (M) Sdn. Bhd., Mohd Amran Rabu serta Pengarah Pentadbirannya, Wan Shahrin Wan Mustaffa.

Sementara itu, salah seorang anak yatim, Amir Arshad Haizan,12, ternyata amat gembira apabila pertama kali berpeluang membeli kelengkapan sekolah bersama rakan sebaya dalam program sebegini.

Paling tidak dilupakannya ialah buat pertama kali dalam hidupnya dia diberi peluang menaiki kereta peronda polis bersama beberapa pegawai polis dan bergerak secara konvoi.

"Biasanya saya hanya tengok dalam televisyen, kali ini saya sendiri yang naik kereta polis, lebih seronok apabila mereka tolong saya cuba baju sekolah. Macam tak percaya," katanya. - UTUSAN ONLINE