Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya telah menjadikan 15 OKU dari seluruh negara semuda usia setahun sebagai anak angkat demi menjaga kebajikan dan keperluan mereka khususnya dari aspek pendidikan.

Beliau berkata, antara OKU di bawah program itu ialah bekas anggota keselamatan yang me­ngalami kecacatan kekal semasa bertugas.

“Ada anggota polis yang putus kaki kerana kemalangan turut kita bantu dan mengambil berat nasib mereka.

“Kita tidak mahu masalah ku­rang upaya menjadi kekangan untuk meneruskan hidup terutama OKU kanak-kanak yang perlu dipastikan tidak ketinggalan dari segi pendidikan dan persekolahan.

“Kita juga pastikan setiap anak angkat menerima rawatan lanjut termasuk mengikuti program rehabilitasi di hospital,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menge­tuai rombongan POKB melawat seorang kanak-kanak OKU, Atiqur Rahman El Uqyle Lokman Hakim, 7, dari keluarga kurang berkemampuan di Flat Kampung Sireh di sini yang tidak berupaya berjalan sejak kecil akibat pe­nyakit Spinal Muscular Atrophy sehingga menyebabkannya terpaksa me­rangkak untuk bergerak.

Yang turut serta dalam rombongan itu ialah Pengerusi Ta­bung Kaseh Sekolah Angkat OKB, Noriha Mohamad; Timbalan Wakil Khas Presiden ke Parlimen Kota Bharu, Johari Yap dan Pengarah Tugas-tugas Khas, Matron Arizah Ibrahim.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dasuki berkata, pihaknya akan berusaha menyediakan kerusi roda khas bermotor yang dijangka menelan belanja antara RM6,000 hingga RM8,000 untuk kanak-kanak itu yang mesra dipanggil Atiq.

“Adik Atiq ini akan kita jadikan sebahagian daripada anak angkat di bawah sayap Anak Angkat OKB OKU untuk kita pantau segala kebajikannya khususnya pendidikan,” katanya.

Penyakit berkait tulang belakang yang dihidapi Atiqur Rahman dikatakan belum mempunyai penawar manakala latihan fisioterapi dijalankan hanya sebagai cara memperlahankan proses otot dan saraf daripada terus men­jadi lemah dan kecut.

Sheikh Ahmad Dasuki berkata, pihak yang ingin menghulurkan sumbangan kepada program anak angkat itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 56288299109423 di bawah nama OKB-OKU PERSATUAN OKB.