Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, bantuan disalurkan kepada mangsa, M. Pushpa Devi, 60, adalah sebahagian inisia­tif sumbangan kebajikan yang dilaksa­nakan secara berterusan oleh persatuan bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, hasil kerjasama dan kesepakatan ahli-ahli POKB di sekitar Lembang Klang seramai 2,500 orang, keperluan membaik pulih rumah mangsa berjaya diselesaikan dalam masa hanya tiga bulan.

“Inisiatif sumbangan dan bantuan diberikan oleh persatuan tidak terbatas kepada sesuatu kaum sahaja, sebaliknya mencakupi semua kelompok masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa dan fahaman agama.

“Pendekatan ini menjadi instrumen terbaik membina dan mengukuhkan lagi perpaduan bangsa Malaysia yang selama ini menjadi tonggak penting keamanan negara,” katanya dalam majlis perasmian baik pulih rumah mangsa kebakaran di Taman Kajang Baru dekat sini hari ini.

Selain program bantuan, persatuan ditubuhkan pada 2011 itu turut aktif melakukan kerja-kerja amal termasuk memberi sumba­ngan kepada pesakit kanser, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan sama ada bantuan perubatan, peralatan mahupun pengangkutan.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, sepanjang 2017, lebih 200 aktiviti kebajikan telah dilaksana­kan POKB melibatkan pelbagai jenis program sumbangan kepada rakyat di peringkat akar umbi sebagai sokongan mencerna kecemerlangan insan kurang berkemampuan.

Katanya, usaha dibuat selama ini bukan berorientasi keuntu­ngan sebaliknya bersandarkan matlamat menjadi model ikutan dalam menggerakkan penyatuan dan perpaduan kaum di Malaysia di samping membela golongan yang memerlukan.

“POKB komited untuk menjadikan 2018 sebagai tahun mesra OKU yang kini dianggarkan seramai 400,000 orang dan secara tidak langsung menjadikan pelbagai aktiviti persatuan ke arah menterjemahkan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menginginkan kita bersama-sama memupuk perpaduan kaum demi negara tercinta,” katanya.