Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, zakat tersebut adalah hasil sumbangan ahli POKB dan badan korporat.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada badan korporat yang sudi menjalinkan kerjasam dengan POKB dalam menjayakan program agihan za­kat ini.

“Kami di POKB sentiasa komi­ted membantu golongan yang memerlukan dan ini merupakan tahun ketiga agihan zakat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian Zakat Kasih Orang Kota Bharu Bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Mydin di Hospital Pasir Mas hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Kehormat Seumur Hidup POKB, Prof. Emeritus Datuk Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman.

Seramai 120 penerima yang terdiri daripada asnaf, pesakit kanser, fakir dan miskin menerima sumbangan tersebut.

Sheikh Ahmad Dasuki memberitahu, beliau berharap sumbangan itu dapat memberikan kegembiraan kepada golongan asnaf untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, sumbangan ini juga bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut hari leba­ran.

“Insya-Allah sokongan yang diberikan oleh semua pihak menjadi pemangkin kepada POKB untuk terus berjuang pada masa akan datang,” ujarnya.