Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad berkata, pihaknya mewujudkan Sudut Maklumat, pengangkutan ulang-alik dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dan u-Pustaka dengan tambahan jumlah buku nadir serta Braille untuk mereka.

Selain itu, jelasnya, PNM turut mengadakan beberapa program galakan membaca khusus untuk golongan berkenaan.

“Penglibatan OKU khususnya cacat penglihatan dalam pembangunan negara dilihat amat penting bagi memastikan negara mencapai status negara maju pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, PNM komited mempertingkatkan perkhidmatan mesra OKU penglihatan bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan mereka.

“Hanya dengan amalan membaca dapat mendidik masyarakat menjadi warga bermaklumat serta menjadi bangsa berbudaya maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pertandingan Membaca Braille Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Pertandingan anjuran Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) itu disertai lebih 13 peserta daripada lima pertubuhan OKU cacat penglihatan yang menunjukkan bakat mengakses bahan-bahan bacaan dalam format Braille.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif NCBM, Moses Choo berkata, pertandingan itu bertujuan menggalakkan pembacaan braille dalam kalangan OKU serta mengetengahkan bakat mereka kepada umum.

“Pemenang bagi pertandingan membaca Braille bahasa Inggeris bagi kategori satu (umur 24 dan ke bawah) dan dua (umur 25 dan ke atas) akan dibawa ke Thailand pada Januari depan untuk menyertai pertandingan peringkat ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, pertandingan hari ini menyaksikan Amanda Kong Hwei Zhen muncul juara kategori satu manakala Lilian Chan Sau Yin juara kategori dua bagi bacaan bahasa Inggeris.

Bagi bacaan bahasa Melayu dimenangi Bredesley David Sotobey bagi juara kategori satu dan Alfa Nur Aini Herman Affendi juara kategori dua. - UTUSAN ONLINE