Sumbangan kepada Tajuddin yang pernah memenangi Anugerah Kajai pada 1990 itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles di kediaman Tajuddin di Presint 9 di sini hari ini.

Menurut Akmar, selain sumbangan peribadi Perdana Menteri, turut disampaikan kepada Tajuddin hari ini adalah sumbangan wang tunai daripada setiausaha-setiausaha akhbar kepada menteri-menteri Kabinet.

“Hari ini saya sampaikan sumbangan daripada dua pihak kepada Tajuddin iaitu sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri dan juga sumbangan daripada rakan-rakan setiausaha akhbar.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarganya untuk membeli barangan keperluan seperti susu dan juga lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu.

Tajuddin yang juga merupakan penulis buku berjudul Dari Kodiang ke Jalan Riong yang mengisahkan mengenai kerjayanya sebagai wartawan telah terlantar sakit sejak lapan tahun lalu selepas diserang angin ahmar.

Tajuddin juga pernah menjadi setiausaha akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid.

Isteri Tajuddin, Rahmah Ibrahim, 61, ketika ditemui berkata, sejak 2012, Tajuddin hanya terbaring dan segala urusan seperti makan, minum, kebersihan diri perlu diuruskannya selain dibantu anak mereka.

“Setiap tiga jam, suami perlu diberikan susu khas yang dima­sukkan melalui tiub, pernah juga tiub tercabut dan terpaksa minta bantuan petugas hospital datang ke rumah untuk memasangnya termasuk pada waktu malam.

“Susu khas ini kami berikan atas nasihat doktor yang dibeli dari farmasi pada harga antara RM70 hingga RM80 untuk satu tin yang boleh bertahan antara lima hingga tujuh hari,” katanya.

Selain itu katanya, suaminya sebelum ini pernah menerima bantuan susu daripada Baitulmal bermula 2016 dan terhenti pada Mei tahun lalu disebabkan tidak dapat melakukan permohonan baharu kepada pihak berkenaan.

“Sekarang Alhamdulillah, bantuan daripada Baitulmal berupa bantuan susu kembali disambung sekali gus dapat meringan beban kami sekeluarga terutamanya selepas doktor menasihatkan saya untuk menambah kuantiti susu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sudi memberi sumbangan kepada suami, hanya Allah yang dapat membalas jasa baik anda semua,” katanya.