Naib Yang Dipertua PKMM Selangor, Azwan Maat berkata, program tanggungjawab sosial korporat itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan mengetengahkan hasil kerja ta­ngan mereka yang semakin dilupakan, selain memberi peluang kepada Orang Asli di Bukit Kala Batu 12, Gombak di sini terlibat dalam dunia perniagaan.

“Mereka ini mempunyai kebolehan membuat alat tradisional tetapi tidak tahu cara betul untuk ketengahkan produk mereka ke peringkat yang lebih luas.

“Alat-alat kraftangan tersebut semakin pupus kerana tidak diberikan perhatian, sebab itu kita mahu mereka kembalikan alat-alat yang pernah digunakan oleh masyarakat Orang Asli selain mampu memberi pulangan keuntungan kepada mereka,” katanya selepas ditemui sempena Program Khidmat Masyarakat 2018 di Perkampung­an Orang Asli Bukit Kala Batu 12, dekat di sini hari ini.

Program anjuran Bahagian Pem­­bangunan Kontraktor dan Usa­hawan Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama PKMM Se­langor itu dirasmikan Ke­tua Setiausaha Bahagian Pem­bangu­nan Kontraktor dan Usahawan kementerian, Zureen Zubir.

Yang turut hadir, Tok Batin Kampung Bukit Kala Batu 12, Hussein Nyah Yin.

Dalam program berkenaan, seramai 300 orang terdiri daripada ahli PKMM, kakitangan Kementerian Kerja Raya dan penduduk bergotong-royong membaik pulih dan mengecat dewan serbaguna, menaik taraf surau Orang Asli Al-Hidayah dan membersihkan kawasan kampung.

Dalam majlis berkenaan seba­nyak 20 keluarga turut menerima bantuan barangan keperluan hari­an seperti beras, gula dan mi­­nyak bernilai RM100 satu keluarga dan sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk tujuan program berkenaan yang diperoleh hasil sumbangan pelbagai pihak khususnya ahli PKMM.

Sementara itu, Zureen berkata, penduduk Orang Asli di kawasan itu perlu mengambil peluang untuk mengetengahkan hasil kraf tangan mereka kepada orang luar.

“Kerja-kerja tersebut memerlukan ketelitian tinggi dan hanya golongan tersebut yang mahir dalam pembuatan seperti sumpit, menganyam tikar dan bakul. Jadi kita mahu mereka tidak terlepas peluang ini,” katanya.

Dalam program sama, Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Kementerian Kerja Raya turut mengisytiharkan kampung berkenaan sebagai kampung angkat bagi memudahkan mereka menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada penduduk di kawasan berkenaan.