Presidennya, Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, PIMM yang bermula sebagai persatuan yang memberikan penumpuan terhadap bantuan pendidikan, mempunyai latar belakang yang sesuai untuk memberikan motivasi berkenaan selain berpe­ngalaman luas dalam menganjurkan pelbagai program berasaskan pendidikan.

“Sebelum ini kita sering me­ngadakan program motivasi dan perkongsian pengalaman di pusat pengajian awam dan swasta,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kenduri Sekampung di Gampong Lhok Puuk di sini hari ini.

PIMM tiba di Aceh semalam bagi menjalankan program misi bantuan gempa bumi Pidie Jaya iaitu kawasan yang teruk terjejas dalam tragedi 7 Disember lalu.

Jelasnya, PIMM telah menghantar cadangan kerjasama itu kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan dan akan melaksanakan program berkenaan sebaik sahaja permohonan tersebut diluluskan.

“Untuk program motivasi kita hanya jalankan di dalam negara sahaja, namun sekiranya ada peluang yang sesuai mungkin kita akan mempertimbangkan program pendidikan di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Halim me­lahirkan rasa gembira apabila hasrat PIMM untuk mengadakan kenduri sekampung berjalan lancar.

“Syukur kita dapat meraikan kira-kira 400 penduduk Gampong Lhok Puuk dan ia sekali gus merapatkan hubungan di antara kedua-dua negara.

“Walaupun berada dalam keadaan yang susah, mereka te­lah membuat pelbagai persiapan untuk menyambut kehadiran kami di sini,” katanya.